WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR DALAM USAHA PULIHKAN KAWASAN PEMBENIHAN KERANG

26/11/2024 04:53 PM

SHAH ALAM, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor dalam usaha memulihkan kembali kawasan pembenihan kerang di perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi meningkatkan hasil pengeluaran hidupan laut tersebut.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata susulan itu kerajaan negeri ketika ini sedang melaksanakan kajian bersama SIRIM Berhad (SIRIM) bagi mengenal pasti punca penurunan benih kerang di perairan berkenaan.

Beliau berkata kajian fasa kedua itu dilakukan rentetan hasil kajian fasa pertama bersama SIRIM di perairan Kuala Selangor tahun lepas yang mendapati kerang di kawasan berkenaan bertoksin dan tidak sesuai untuk dimakan.

“Pencemaran kualiti air di perairan Kuala Selangor berlaku susulan aliran keluar air Sungai Buloh yang tercemar ke laut dan menurut kajian itu banyak kerang yang pupus di situ.

“Di samping itu kita tidak nafikan terdapat benih kerang dicuri untuk diseludup kerana benih kerang di Kuala Selangor antara yang berkualiti tinggi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Izham berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti penyelesaian untuk meningkatkan kualiti air bagi menambah jumlah kerang yang merupakan hidupan bernilai tinggi bagi sektor agrikultur.

“Di samping itu, kita akan lihat balik mana-mana lot kerang yang tidak diusahakan untuk diberi kepada orang baharu dan usaha mengembur semula tanah supaya kerang baharu dapat hidup dengan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Izham ketika sesi pertanyaan di persidangan DUN hari ini memaklumkan berlaku penurunan ketara hasil kerang dan kerajaan negeri dalam usaha untuk mengatasi perkara itu.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) yang ingin tahu faktor utama yang mengakibatkan pengeluaran benih kerang Sabak Bernam semakin merosot saban tahun. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan