WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAPAN TANDA: HORMATI PERATURAN SEDIA ADA - ABDUL KARIM 

26/11/2024 06:04 PM

KUCHING, 26 Nov (Bernama) -- Semua pihak diminta untuk menghormati peraturan serta undang-undang sedia ada mengenai penggunaan bahasa tertentu pada papan tanda.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sekiranya peraturan hanya membenarkan bahasa kebangsaan serta Inggeris digunakan maka ia harus dipatuhi.

“Bagi saya tidak perlu kita berlebihan sebagai contoh jika bawa pelancong dari India kita mesti ada papan tanda bahasa Tamil dan pelancong dari Arab Saudi atau Asia Barat kita perlu ada papan tanda Bahasa Arab. .

“(Peaturan ini) tidak perlu dijadikan isu. Jika undang-undang minta guna bahasa Melayu atau Inggeris kita guna sahajalah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar ibu negara baru-baru ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang kecil yang ditetapkan.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan ia termasuk Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang antara lain mengkehendaki semua iklan dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Abdul Karim berkata penggunaan bahasa tertentu pada papan tanda tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara atau negeri.

“Pelancong yang tidak tahu bahasa kebangsaan boleh belajar malah dalam telefon bimbit juga ada aplikasi untuk terjemah bahasa. Ini bukan satu masalah yang akan menyebabkan pelancong mahu datang atau tidak.

“Pelancong ini mereka lebih utamakan faktor lain untuk ke sesuatu tempat seperti faktor keselamatan, produk pelancongan dan makanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan