WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU HAD MUATAN: PPLTM MOHON KEMENTERIAN PENGANGKUTAN WUJUD SITUASI 'MENANG-MENANG'

26/11/2024 05:53 PM

Daripada Syamsiah Sahat

BEIJING, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan diminta mengambil tindakan yang membawa kepada situasi 'menang-menang' dalam menangani isu kenderaan perdagangan dengan muatan melebihi had ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM) Datuk Michael Loo Leep Chye berkata ini kerana pihak pengusaha lori tersepit apabila terpaksa menuruti permintaan pelanggan yang mahu menghantar barangan mengikut kehendak mereka. 

"Kami pula hanya boleh membawa muatan seperti ditetapkan peraturan Berat Dengan Muatan (BDM) sedangkan lori kini boleh membawa lebih muatan dengan selamat mengikut perkembangan kapasiti automotif semasa," katanya kepada Bernama di sini ketika menyertai rombongan lawatan Persatuan Kelestarian Perniagaan Kecil dan Sederhana Kinta (KPKS) Perak ke China dari 23 hingga 28 Nov.  

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mahu meletakkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan kuari dalam usaha menangani masalah kenderaan membawa muatan berlebihan. 

Semalam Loke dilaporkan berkata JPJ diberi mandat penuh untuk menangani isu kenderaan berat membawa muatan berlebihan yang dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

Loke berkata JPJ diarah untuk mengambil tindakan tegas kepada lori yang membawa lebih muatan termasuk menempatkan pegawai penguat kuasa di kawasan kuari bagi memastikan pematuhan undang-undang.

Dalam pada itu, Loo menegaskan pihaknya tidak sekali-kali menolak usaha kerajaan dalam menangani isu kenderaan membawa muatan berlebihan tetapi pada masa sama mahu kementerian mendengar keluhan pengusaha perkhidmatan lori tempatan.

"Mereka pasti risau dan ia boleh menimbulkan konfrontasi serta tindakan boikot. Jika ini berlaku industri pembinaan pasti akan terjejas," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan mengemas kini garis panduan had berat muatan boleh dibawa oleh kenderaan perdagangan agar selari dengan perkembangan teknologi automatif.

Loo berkata kali terakhir garis panduan itu dikemas kini ialah pada 2018 dan ia ketinggalan zaman serta tidak selari dengan teknologi automotif yang semakin canggih.

"Umumkan juga garis panduan yang jelas dan terpakai kepada pelanggan yang mahukan perkhidmatan supaya kami boleh menolak permintaan pelanggan yang mahu kami membawa muatan melebihi had dibenarkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan