SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Isu pendidikan, pertanian dan ekonomi Orang Asli antara perkara dibincangkan ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-Juasseh) mencadangkan agar kursus dan silibus pembelajaran dalam Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata usaha itu membantu warga pendidik KEMAS meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan melahirkan komuniti lebih cekap serta berdaya saing seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.
"Negara maju kini sudah menerapkan teknologi AI bukan hanya dalam sektor ekonomi tetapi juga dalam pendidikan. KEMAS sebagai institusi penting mesti melangkah seiring dan tidak tercicir dengan perkembangan digital," katanya.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dalam perbentangan belanjawan berimbang berjumlah RM590 juta berkata antara inisiatif baharu diperkenalkan adalah pembinaan generasi celik AI.
Sementara itu, Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) meminta kerajaan menitikberatkan isu keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli dengan menggandakan usaha mengadakan perjumpaan dengan komuniti itu bagi menerangkan kepentingan menamatkan pengajian arus perdana.
Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu membantu memperkasakan ekonomi pertanian masyarakat berkenaan di negeri ini dengan membina akses jalan berkualiti terutamanya di kawasan pertanian yang merupakan sumber pendapatan utama mereka.
"Sesetengah kawasan pertanian Orang Asli tidak dapat dihubungkan dengan jalan pertanian yang baik membuatkan mereka tidak dapat mengeluarkan hasil pertanian secara maksimum.
“Kekurangan akses jalan sering menjadi alasan peraih mengambil kesempatan mengenakan bayaran rendah ketika membeli hasil jualan masyarakat ini termasuk getah, petai dan buah-buahan," katanya.
Bagi isu padi, Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) mencadangkan kerajaan negeri melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membeli padi mengikut harga siling semasa supaya tiada pihak dari negeri luar mengambil kesempatan membeli hasil negeri ini dan menjual beras tempatan ini di negeri mereka.
"Ini merugikan rakyat kita sendiri kerana kuota padi tempatan akan menjadi beras tempatan negeri lain, saya juga mencadangkan kerajaan negeri membekalkan mesin padi mini untuk petani menjual terus hasil tuaian kepada penduduk setempat," katanya.
Persidangan DUN bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial