WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PULAU PINANG AKAN TUBUH JAWATANKUASA, GARIS PANDUAN KHUSUS TANGANI GELANDANGAN

27/11/2024 11:14 AM

GEORGE TOWN, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam proses untuk menubuhkan jawatankuasa dan mengembangkan garis panduan khusus bagi menangani serta membantu populasi gelandangan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata golongan gelandangan itu termasuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan penyalahgunaan dadah akibat beberapa kekangan di bawah peruntukan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183).

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab mengambil dan memulihkan orang papa (pengemis dan peleser) berdasarkan peruntukan di bawah Akta 183.

“Bagaimanapun, kekangan yang dihadapi bagi membantu golongan papa ini adalah kerana Prosedur Tetap Operasi Tindakan Mengambil Orang Papa di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 yang menyatakan pihak JKM tidak mempunyai kuasa mengambil dan membantu orang papa bagi beberapa kes.

“Ia seperti kes bukan warganegara, kes pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), kes disyaki berpenyakit mental dan mempunyai masalah kesihatan kronik atau penyakit berjangkit, disyaki penagih dadah, menghidu gam, ketagihan alkohol dan kes kutipan derma tanpa kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chee Yeeh Keen (PH-Bagan Jermal) mengenai kekangan di bawah Akta 183 yang menyukarkan bantuan disalurkan kepada golongan papa yang menghadapi masalah kesihatan mental, HIV dan penagihan dadah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Gooi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang berkata pihak JKM akan menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membantu memberi rawatan kepada golongan terbabit selain JKNPP akan mengenal pasti pesakit daripada orang gelandangan atau papa, seterusnya dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata pesakit yang mempunyai masalah kesihatan kronik akan dirujuk ke klinik pakar atau klinik kesihatan terdekat mengikut keperluan bagi rawatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan