KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyegerakan usaha pembukaan 20 laluan keluar air di Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Fasa 1 Sungai Golok sebagai langkah menghadapi banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Rohani Ibrahim berkata kerajaan juga mengambil pendekatan tidak menambat benteng di kawasan projek itu yang pecah tahun lepas bagi mengurangkan kesan banjir.
Beliau berkata ini adalah antara langkah penting yang diambil bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini, selain mengenal pasti 618 lokasi sering banjir di seluruh Kelantan dalam meningkatkan kesiapsiagaan.
"Kita juga menambah pusat pemindahan sementara (PPS) kepada 459 buah tahun ini dengan kapasiti 186,440 mangsa berbanding 214 PPS tahun lepas," katanya ketika menjawab soalan Tuan Harun Ismail (PAS-Tawang) berkaitan langkah kerajaan bagi menghadapi MTL pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Rohani berkata penambahbaikan 38 PPS aktif juga telah dilaksanakan membabitkan peruntukan RM810,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Dari segi keperluan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap sedia dengan depoh simpanan utama selain enam stor bencana daerah, 160 pengkalan hadapan dan 85 pembekal barangan keperluan dilantik di setiap jajahan.
"Jumlah petugas dan penyelamat pelbagai agensi juga ditambah kepada 7,209 anggota berbanding 7,147 tahun lepas manakala 19,619 aset sedia digunakan untuk banjir tahun ini," katanya.
Sementara itu Rohani berkata lebih 100 sukarelawan dan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat dalam penyelarasan MTL peringkat DUN bagi bersama-sama membantu mangsa banjir.
Beliau berkata orang ramai diminta peka dengan siren amaran banjir dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa selain memantau keselamatan ahli keluarga masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial