MELAKA, 27 Nov (Bernama) -- Permohonan bagi penggantian MyKad lebih tiga kali di negeri ini meningkat 16 peratus kepada 370 permohonan dari Januari hingga Oktober lepas berbanding 317 permohonan pada tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Norazle Sulaiman berkata kebanyakan permohonan membabitkan individu berusia 20-an hingga 40-an dengan alasan tercicir dokumen pengenalan diri itu ketika berurusan.
"Kita menasihatkan setiap warganegara yang memegang MyKad untuk lebih bertanggungjawab kerana ia boleh merisikokan pemilik sekiranya disalah guna oleh pihak lain," katanya kepada pemberita pada Program Hari Terbuka JPN Bersama Media 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut Norazle berkata JPN juga menerima 2,515 permohonan dokumen pengenalan diri MyKad dan surat beranak melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Beliau berkata MEKAR yang melibatkan program turun padang bagi memudahkan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.
"Usaha proaktif JPN bagi memastikan setiap penduduk di negara ini yang layak dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan ditawarkan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata 168 kes daftar lewat kelahiran dan 41 kes daftar lewat Mykad direkodkan bagi tempoh yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial