WILAYAH - SARAWAK > BERITA

STIGMA SOSIAL HALANG INDIVIDU DAPATKAN RAWATAN KESIHATAN MENTAL

27/11/2024 09:25 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Stigma sosial mengaitkan masalah kesihatan mental dengan kelemahan atau kekurangan diri yang masih wujud dalam komuniti menyebabkan banyak individu memilih untuk menahan penderitaan sendirian.

Dekan dan Pensyarah Kaunseling Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Rahimi Che Aman berkata ia ketara dalam golongan muda atau pelajar universiti yang sedar akan kewujudan perkhidmatan kaunseling tetapi enggan mendapatkan rawatan kerana takut dipandang rendah atau dilabel sebagai lemah.

“Kesedaran ada, tetapi keberanian untuk mendapatkan perkhidmatan masih boleh ditingkatkan. Stigma sosial melabel mereka yang mendapatkan rawatan sebagai 'lemah' atau 'tidak normal' adalah satu daripada cabaran terbesar," katanya ketika menjadi ahli panel Forum Utamakan Kesihatan dan Kesejahteraan Mental sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini hari ini.

Forum yang berlangsung lebih dua jam itu dikendalikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selaku pengerusi forum dan disertai tiga ahli panel lain terdiri daripada pakar dalam bidang perkhidmatan psikologi, kaunseling dan psikologi klinikal.

Menurut Rahimi, kekangan berkenaan juga meliputi akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, terutama di luar bandar yang berdepan cabaran untuk mendapatkan rawatan sepatutnya.

“Walaupun terdapat banyak agensi menyediakan bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di bandar besar, golongan di luar bandar atau yang berada dalam golongan B40 sering kali menghadapi cabaran besar dalam mendapatkan akses kepada rawatan.

“Ini melibatkan bukan sahaja isu geografi, tetapi juga faktor ekonomi, kekurangan kemudahan dan ketidaksesuaian perkhidmatan dengan keperluan mereka,” katanya.

Psikologis Klinikal dan Pengasas Bersama Institut Psikospiritual Mohd Akif Farhan Ahmad Basri dalam sesi perkongsiannya berkata masalah kesihatan mental berpunca daripada pelbagai faktor dan bukan sekadar disebabkan tekanan kerja, tetapi turut dipengaruhi oleh trauma masa lampau.

“Kadangkala masalahnya berlapis. Contohnya seorang graduan yang baharu sahaja mendapat kerja namun gaji tidak setimpal, kemudian tiada simpanan kewangan dan sebagainya. Ia akan membentuk sesuatu ketidakseimbangan emosi.

“Bukan kerana kita lemah atau gagal, tetapi kerana kita hidup dalam dunia yang penuh cabaran. Kita perlu ada sistem yang menyokong kesihatan mental dari pelbagai sudut bukan hanya segi rawatan tetapi juga melalui pendidikan dan sokongan sosial,” katanya.

Terdahulu, Dzulkefly dalam ucaptama berkata aspek kesihatan mental kini merupakan satu daripada cabaran terbesar dihadapi masyarakat global, termasuk Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 10 hingga 20 peratus populasi dunia berdepan gangguan mental pada suatu ketika dalam hidup mereka, bermakna satu daripada sepuluh orang atau lebih berdepan dengan cabaran mental yang boleh melibatkan pelbagai keadaan seperti kebimbangan dan kemurungan hingga menjejaskan kesejahteraan individu.

Dzulkefly turut memetik statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

Menurut dapatan utama NHMS 2023, bilangan penduduk yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding angka NHMS 2019.

Putrajaya FOI berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula hari ini hingga Jumaat menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan