WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKMM DIGESA SUPAYA LEBIH RESPONSIF DENGAN SEBARANG PERUBAHAN - NANTA

28/11/2024 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kontraktor Bumiputera digesa untuk lebih responsif dan bersiap sedia dengan sebarang perubahan agar dapat bersaing dan meletakkan diri ke peringkat lebih tinggi termasuk di ASEAN dan global.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini penting bagi membolehkan mereka turut serta sebaik Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilaksanakan, kerana setiap perolehan kerajaan bernilai lebih RM330 juta perlu dibuat secara tender terbuka kepada negara-negara yang menjadi anggota CPTPP.

“Perkembangan ini sudah tentu menjadi cabaran besar kepada industri pembinaan negara, sebab itu saya minta fikirkanlah cara untuk kita mendepani persaingan ini,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM kali ke-45, di sini malam ini.

Sebagai organisasi yang memayungi kontraktor-kontraktor Bumiputera, Nanta juga berharap PKMM berupaya mengalih haluan dengan cepat dan menggembleng usaha secara tersusun, serentak dengan arus perubahan itu.

Beliau berkata ini termasuk berfikiran kritis terhadap hubungan organisasi dengan persekitaran dan sentiasa membuat semak dan imbang dalam meneliti setiap usaha untuk kebaikan ahli.

“Saya juga menyeru kontraktor supaya lebih inovatif dan menerokai bidang yang baharu di Malaysia. Setiap perkembangan dalam dunia perniagaan hendaklah diteliti supaya peluang yang baik tidak terlepas begitu sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau berharap agar semua kontraktor yang membida projek kerajaan agar serius melaksanakannya, dengan menganggap ia satu peluang untuk menunjukkan prestasi yang terbaik dari segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Presiden PKMM Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan