WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RISIKO SEKATAN PERDAGANGAN AKIBAT PERTAHAN HAK PALESTIN TUMPUAN DEWAN RAKYAT

28/11/2024 08:30 AM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Risiko sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat susulan kelantangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mempertahankan hak rakyat dan negara Palestin menjadi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, RSN Rayer (PH-Jelutong) mengemukakan soalan berkaitan isu tersebut dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, sebaik sidang bermula pada pukul 10 pagi.

Dalam sesi sama, Perdana Menteri dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai alasan kontrak sewaan helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaksanakan secara pajakan tidak melalui tender terbuka antarabangsa atau pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G to G).

Sementara itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) akan meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan langkah-langkah yang diambil bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani kejadian banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar, pada sesi soal jawab lisan.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian yang terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari, bermula 14 Okt lepas hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan