WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMPEN MYES 2024 TAWAR PENGALAMAN BELI-BELAH, MELANCONG TIADA TANDINGAN

28/11/2024 10:07 AM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Tourism Malaysia melancarkan Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2024 (MYES 2024) dengan tawaran pelbagai aktiviti dan promosi menarik kepada pengguna serta pelancong bermula 15 Nov lepas hingga 1 Jan ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Manoharan Periasamy berkata MYES 2024 menawarkan pengalaman beli-belah dan melancong yang tiada tandingan merangkumi pelbagai penawaran barangan, penginapan, pengangkutan serta makanan dan minuman.

Beliau berkata kempen yang diadakan dengan kerjasama Mastercard serta lebih 60 penggiat industri pelancongan itu turut menawarkan lebih 130 aktiviti dan promosi menarik kepada pelancong yang berkunjung ke pusat beli-belah di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut.

“Tarikan utama bagi kempen kali ini adalah Jualan Tengah Malam yang melibatkan Aeon Mall Tebrau City pada 29 hingga 30 Nov, Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (29-30 Nov), Freeport A’Farmosa Outlet Park (21 Dis),  Noor Arfa Craft Complex Kuala Terengganu (21 Dis), Aeon Mall Kota Bharu (24 Dis), Sutera Mall Johor Bahru (31 Dis) dan The Exchange TRX (31 Dis).

“Kempen ini juga mendapat sokongan penuh daripada rakan industri seperti Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Malaysia Aviation Group (MAG),” katanya dalam sidang media kempen MYES 2024 di Sunway Pyramid di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dr Yasmeen Yasim, Naib Presiden Pemasaran Mastercard Dheeraj Raina, Presiden PPK Malaysia merangkap Pengurus Besar Kanan Sunway Malls Kuala Lumpur Phang Sau Lian dan Timbalan Presiden MRA merangkap Ketua Pegawai Operasi Parkson Corporation Sdn Bhd Law Boon Eng.

Manoharan berkata antara tawaran menarik lain sepanjang MYES 2024 ialah diskaun hingga 90 peratus untuk produk terpilih, cabutan bertuah dengan hadiah utama seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) GWM HAVAL H6 HEV dan Toyota Vellfire, serta sesi jatuhan belon dengan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000.

Beliau berkata turut ditawarkan promosi istimewa mingguan melibatkan produk kecantikan, pakaian, aksesori, peralatan rumah dan barangan elektronik, reruai barangan berjenama, persembahan konsert, tawaran harga tiket penerbangan, Air Asia Ride dan pakej penginapan istimewa.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah perbelanjaan pelancong bagi tempoh Januari hingga September lepas mencecah RM26.98 bilion iaitu peningkatan 63 peratus berbanding RM16.56 bilion yang direkodkan untuk tempoh sama pada 2023.

“Segmen ini menjadi penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan iaitu mewakili 36.8 peratus daripada jumlah keseluruhan RM73.2 bilion pendapatan pelancongan yang direkodkan bagi tempoh ini. Saya yakin angka ini akan terus meningkat sekali gus memperkukuhkan perkembangan segmen ini lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Justeru, Manoharan berharap Kempen Jualan Nasional ini bukan sahaja menjadi daya tarikan kepada pembeli malah pemangkin ke arah mempelbagaikan tarikan pelancongan di Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan di mata dunia.

Sementara itu, MAG menerusi MYES 2024 menawarkan penjualan harga tiket menarik dari beberapa destinasi antarabangsa terpilih antaranya United Kingdom, Korea, China, Jepun, Taiwan dan India ke Malaysia dengan penyambungan penerbangan domestik ke Langkawi, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Beberapa hotel terlibat pula menawarkan pakej penginapan istimewa termasuk minum petang, ‘snack pack’, makan malam bufet untuk keluarga atau pasangan, selain sebahagian hotel menyediakan daftar keluar lewat hingga 4.30 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan