WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SISTEM PAJAKAN HELIKOPTER LEBIH TELUS, ELAK BEBAN KEWANGAN NEGARA - ANWAR

28/11/2024 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan menggunakan sistem pajakan dalam perolehan helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan dan pasukan keselamatan kerana kaedah itu lebih telus, dan bagi mengelakkan beban kewangan kepada negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kaedah itu membolehkan kerajaan membuat penjimatan dari segi keperluan penyelenggaraan dan kerosakan yang menjadi masalah besar ketika ini.

"Walaupun kalau kita beli lebih murah, tetapi akhirnya kita lihat keperluan penyelenggaraan pesawat itu lebih mahal daripada (harga) pesawat pada peringkat awal," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai  kontrak sewaan helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaksanakan secara pajakan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk beberapa agensi termasuk ATM. 

Anwar berkata Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni telah memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dalam memenuhi kontrak pajakan helikopter Leonardo itu memandangkan negara berkenaan mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat tersebut.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan Meloni dalam pertemuan semasa Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil baru-baru ini.

“Di bawah konsep pajakan itu, syarikat pengeluar perlu memastikan tahap ketersediaan dan kesiagaan helikopter yang dibekalkan pada tahap 85 peratus,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut meletakkan syarat Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam dijadikan pusat latihan untuk helikopter Leondardo; dan pemindahan teknologi dilaksanakan di negara ini. 

"Mengambil kira persiapan dan persediaan Malaysia sebagai hub (Leonardo). Sekarang (hub) ada di Itali, Miami (Amerika Syarikat) dan di Malaysia mungkin dipilih Melaka kerana berdekatan dengan Lapangan Terbang Batu Berendam," katanya.

Menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) sama ada kaedah itu akan digunakan untuk pembelian aset lain seperti jet pejuang, Anwar berkata buat masa ini terdapat keperluan perolehan aset yang tidak sesuai menggunakan sistem pajakan.

"Pihak ATM ada mengatakan ada keperluan segera yang harus dimiliki oleh negara yang tidak boleh menunggu leasing (pajakan), maknanya beli secara langsung," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham sama ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen boleh membuat pengesahan bahawa syarikat Leonardo dapat memenuhi spesifikasi helikopter yang diperlukan setiap pasukan dan agensi, Anwar berkata perkara itu tidak boleh dibincangkan secara terbuka bagi tujuan keselamatan.

"Tidak ada negara di dunia ini yang bincang soal keperluan teknikal keselamatan secara umum... saya fikir tidak wajar untuk kita bincang secara teliti soal spesifikasi dan keperluan dan kekuatan kelengkapan tentera kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan