WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH RAYUAN BENARKAN PERMOHONAN NA’IMAH DAPATKAN KEMBALI PASPORTNYA SECARA KEKAL

28/11/2024 05:04 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid supaya pasportnya dikembalikan kepadanya secara kekal.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang mengenakan syarat jaminan yang memerlukan penahanan pasport Na’imah.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Azizah berkata hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila beliau mengarahkan penahanan pasport Na'imah, sedangkan tiada alasan sah dan munasabah untuknya berbuat demikian.

Beliau berkata di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan telah meminta pasport Na’imah diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, dengan mengatakan ia sebagai amalan biasa seperti dalam kes-kes lain.

Azizah berkata pergantungan pihak pendakwaan terhadap mengenakan syarat tambahan menjejaskan prinsip yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebelum ini, yang menyatakan bahawa sebarang syarat tambahan mestilah adil, munasabah dan berkaitan dengan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Beliau berkata panel hakim berpandangan bahawa tiada bukti sokongan atau penjelasan untuk memberikan justifikasi mengapa syarat tambahan itu perlu.

Mahkamah juga menolak bantahan awal pihak pendakwaan berhubung rayuan Na'imah.

Na’imah, 67, balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin menfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi mengetepikan permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen menahan pasportnya, sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.

Pada 23 Jan lepas, isteri bekas Menteri Kewangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

 Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na'imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. 

Mahkamah sebelum ini telah beberapa kali membenarkan permohonan Na’imah mendapatkan pasportnya untuk sementara waktu bagi membolehkan dia berlepas ke Switzerland, Singapura, London, Venice dan China.

Allahyarham Daim, 86, yang meninggal dunia pada 13 Nov lepas, telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen dalam kes berasingan membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan lebih 70 aset, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Na’imah manakala timbalan pendakwa raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin di pihak pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan