WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM TANGGUH PROGRAM, UTAMAKAN KEBAJIKAN RAKYAT DILANDA BANJIR

28/11/2024 05:56 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan program beliau di Tasik Kenyir, Terengganu, yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini, untuk memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang berdepan bencana banjir. 

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen setelah beliau selesai menghadiri sesi soal jawab hari ini. 

"Mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing di Terengganu, saya memutuskan untuk menangguhkan dahulu rencana itu.

"Saat ini, kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan bencana ini menjadi keutamaan dan perlu diuruskan sebaiknya," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook. 

Anwar turut mendoakan agar mangsa banjir di semua negeri yang terlibat terus tabah dalam mendepani musibah itu.

Setakat 4 petang tadi, seramai 14,111 mangsa daripada 4,113 keluarga direkodkan di Terengganu melibatkan tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Nerus.

Selain Terengganu, banjir juga melanda Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Johor. 

 -- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan