WILAYAH - SARAWAK > BERITA

14 TERTUDUH KES CULIK WARGA PALESTIN DIBENAR IKAT JAMIN RM50,000

28/11/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan 14 individu termasuk seorang wanita yang didakwa menculik lelaki warga Palestin dua tahun lepas diikat jamin RM50,000 masing-masing dengan dua penjamin.

Hakim K. Muniandy, yang membenarkan permohonan kesemua individu selepas meneliti dan mendengar hujah peguam masing-masing, turut mengenakan syarat tambahan antaranya melarang mereka berkomunikasi dengan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Beliau turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap kesemua tertuduh.

"Saya mengeluarkan perintah larangan bersuara iaitu kesemua tertuduh dihalang mengulas atau membincangkan kes ini dalam apa jua bentuk media, penerbitan atau media sosial. 

“Setiap tertuduh diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk komunikasi dengan saksi pendakwaan sama ada diniatkan atau sebaliknya dan mana-mana individu lain yang mungkin ada kaitan atau tidak dengan kesalahan yang didakwa," katanya.

Muniandy juga berkata sebarang bentuk gangguan, ugutan dan pelanggaran syarat jaminan yang dikenakan akan memberi hak kepada mahkamah untuk membatalkan jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes dan 7 hingga 11 Julai 2025 untuk perbicaraan.

Pada Oktober 2022, 14 individu berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan niat bersama menahan mangsa yang berusia 31 tahun untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51, dan Mohd Azwan Jamaludin, 39.

Turut didakwa Nidarahayu Zainal, 36; Raibafie Amdan, 41; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 25, dan Edy Ko'im Said, 42.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badius Zaman Ahmad menawarkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh, mengambil kira faktor kes adalah serius dan telah menarik perhatian dunia.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu, Adi Zulkarnain Zulkafli, Goh Cia Yee, Muhammad Amin Abdullah dan Wan Muhd ​​Ariff Ameer Wan Normazlan bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guam mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Menurut peguam, kesemua tertuduh telah ditahan di penjara selama dua tahun dan aset sebahagian daripada mereka telah dibekukan selepas didakwa selain mempunyai masalah kesihatan serta anak yang masih kecil.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan