KUANTAN, 28 Nov (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang akan memainkan peranan antara lain sebagai penyelaras pusat pengumpulan barang bantuan banjir.
Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata langkah itu bagi memastikan bantuan diberikan mengikut keperluan dan dapat diagihkan secara adil kepada mangsa terlibat.
“Selain terlibat dalam operasi menyelamat APM juga selaraskan pusat pengumpulan barang bantuan malah kita akan mengkoordinasikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang untuk memberikan bantuan supaya tidak berlaku pertindihan tugas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program temu bual bersama Pahang FM hari ini mengenai kesiapsiagaan jawatankuasa pengurusan bencana Pahang.
Sementara itu, Che Adam berkata pihaknya memantau perkembangan cuaca di Pahang memandangkan Terengganu dan Kelantan sudah dilanda banjir buruk.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan bagi memudahkan koordinasi semua agensi penyelamat terlibat bagi melakukan tindakan awal membantu orang ramai yang berdepan bencana tersebut.
"Koordinasi pengurusan bencana melibatkan beberapa fasa iaitu sebelum, semasa, selepas dan mitigasi atau pemulihan dan pada fasa ini kita fokus kepada memantau.
"Namun apabila musibah berlaku, pasukan utama yang akan bertindak ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain dibantu oleh pihak APM dan tentera...inilah empat agensi utama terlibat dalam tugas penyelamatan," katanya
Dalam pada itu, Che Adam berkata bantuan menyelamat daripada orang ramai yang memiliki bot dialu-alukan namun tugasan itu perlu dilaporkan kepada pihaknya supaya setiap pergerakan yang dilakukan dalam makluman mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial