WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT TIDAK SEKAT PERMOHONAN DANA SELENGGARA RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM - NGA

28/11/2024 07:03 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menyekat mana-mana permohonan dana bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI), kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata bantuan kewangan berkenaan diagihkan berdasarkan keperluan setiap pemohon dengan keutamaan diberikan kepada golongan memerlukan bantuan secara mendesak dan yang belum pernah menerima bantuan.

“Inisiatif ini memberi keutamaan kepada rumah ibadat bukan Islam yang memerlukan bantuan segera, selaras dengan komitmen  KPKT iaitu ‘tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir’.

“Rumah ibadat bukan Islam boleh mengemukakan permohonan kepada KPKT setiap tahun dan kelulusan dana diberikan berdasarkan keperluan serta kedudukan fiskal kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan KPKT untuk mengehadkan kekerapan RIBI memohon peruntukan kerajaan adalah tidak munasabah.

Ia susulan pengumuman Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman ​​Athirah Sabu di Dewan Rakyat pada Isnin bahawa RIBI yang sudah mendapat peruntukan hanya boleh memohon semula selepas tiga tahun.

Aiman ​​Athirah dilaporkan berkata KPKT sedang meminda garis panduan permohonan program RIBI bagi memastikan tiada premis yang menerima peruntukan berulang.

Menurut Nga setakat Oktober, KPKT telah menyalurkan bantuan penyelenggaraan berjumlah RM46.13 juta kepada 422 rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil, gereja, gurdwara dan tokong.

“Antara jumlah ini, 147 kuil dan 25 gurdwara menerima peruntukan bantuan setinggi RM21.35 juta,” katanya.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan MADANI memperuntukkan RM50 juta lagi bagi bantuan penyelenggaraan RIBI sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan yang meraikan kepelbagaian dan menyokong keharmonian serta keperluan komuniti pelbagai budaya dalam negara.

Justeru, Nga memohon agar isu berkenaan tidak dipolitikkan dengan memberi maklumat tidak benar dan cuba mengelirukan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan