WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CIMB, MAYBANK, AFFIN BANK TAWAR BANTUAN KEPADA PELANGGAN TERJEJAS BANJIR

30/11/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Affin Bank Bhd, Malayan Banking Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd telah mengumumkan program bantuan banjir untuk membantu individu dan perusahaan yang terjejas akibat banjir.

CIMB dalam satu kenyataan hari ini berkata pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro PKS terjejas akibat banjir boleh memohon pelepasan bayaran enam bulan ke atas produk pinjaman dan pembiayaan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka di bawah Pelan Bantuan Banjir CIMB.

“Selain itu, caj dan yuran lewat untuk pelanggan terjejas akan dikecualikan. Pelanggan PKS yang terjejas akibat banjir dan memerlukan bantuan aliran tunai tambahan selain pelepasan bayaran boleh memohon Kemudahan Bantuan Bencana sehingga RM700,000 pada kadar pembiayaan berpatutan," katanya.

CIMB berkata menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Yayasan CIMB dan CIMB Islamic memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk menyediakan bantuan komuniti untuk mangsa banjir serta sokongan pemulihan selepas banjir.

“Yayasan CIMB akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengagihkan RM2.5 juta untuk usaha bantuan banjir di lapangan serta sokongan pemulihan selepas banjir,” katanya.

Sementara itu, Maybank berkata bantuan bantuan banjir dilakukannya bertujuan meringankan beban kewangan pelanggannya.

“Ia direka untuk menangani cabaran yang dihadapi mangsa banjir, ia termasuk antaranya ialah penangguhan pembiayaan/pembayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Maybank juga menawarkan pengecualian yuran dan caj untuk perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit, kad mesin juruwang automatik (ATM) atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.

Cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa telah melaksanakan proses tuntutan yang cepat dan mudah untuk pemegang polisi insurans dan pemegang sijil takafulnya tanpa menggunakan borang atau dokumen sokongan diperlukan.

Dalam pada itu, Affin Bank mengumumkan Program Bantuan Bencana Alam Affin (NDRP) untuk membantu pelanggannya yang terjejas banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah berkata banjir yang berlaku ketika ini memberi kesan buruk kepada kawasan terjejas dan masyarakat setempat.

“Untuk mengurangkan beban kewangan pelanggan kami pada masa yang mencabar ini, Affin menawarkan bantuan kepada pelanggannya melibatkan pelbagai produk pinjaman dan pembiayaan melalui NDRP.

"Kami terus komited untuk menyokong komuniti, memberikan bantuan tepat pada masanya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan