WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR AKAN GERAKKAN BANTUAN KE NEGERI TERJEJAS PASCABANJIR

01/12/2024 04:03 PM

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan menggerakkan jenteranya untuk membantu pada proses pascabanjir bagi negeri yang terkesan dengan musibah itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata pihaknya sedang berhubung dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Belia dan Sukan bagi mengatur pergerakan bantuan dan sukarelawan serta sedang memuktamadkan perkara berkenaan di peringkat pentadbiran kerajaan negeri. 

"Saya telah mengadakan perbincangan awal untuk membantu proses pembersihan nanti selepas musim banjir...kita akan buat bersama terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kita lihat kesannya amat buruk," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Selangor Education Summit 2024 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini hari ini. 

Amirudin berkata tenaga dan jentera kerajaan negeri kini sedang ditumpukan bagi kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi musim banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac tahun hadapan. 

Mengenai bantuan banjir di Selangor, beliau berkata mangsa yang terkesan dalam kejadian di Meru, Klang sudah dikenal pasti dan bantuan kewangan RM500 daripada kerajaan negeri akan diberikan dalam masa terdekat. 

"Kita sekarang sedang pantau keadaan (perkembangan bencana), yang penting bagi kita operasi tertentu ketika banjir dapat dijalankan terutamanya usaha menyelamat dan mengawal keselamatan," katanya. 

Banjir di Meru, Klang pada 29 Nov lepas menyaksikan seramai 487 individu membabitkan 111 keluarga berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dan Balai MPKK Bukit Kapar. 

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan