WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAWIT : CPOPC GESA PELAN STRATEGIK DIRANGKA BAGI TANGANI CABARAN PERATURAN - JOHARI

02/12/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) perlu bertindak aktif merangka pelan strategik bagi menangani cabaran peraturan berterusan yang dihadapi oleh negara-negara berkenaan.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata cabaran berkenaan dicetuskan oleh pendekatan dasar perlindungan yang sebaliknya turut berpotensi menjadi halangan perdagangan.

“CPOPC (perlu) secara aktif membangunkan pelan strategik bagi menangani cabaran ini secara konstruktif, memastikan keterangkuman pelebun kecil, layanan adil, akses pasaran dan promosi amalan mampan dalam sektor ini," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri CPOPC kali ke-12 di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Sementara itu, dalam kenyataan, CPOPC berkata mesyuarat berkenaan menekankan keperluan mendesak bagi majlis meningkatkan program utama, khususnya yang berkaitan dengan pekebun kecil, kemampanan selain kempen positif.

“Tindakan ini akan membolehkan CPOPC mengukuhkan peranan utamanya dalam sektor minyak sawit global selain menyumbang kepada pencapaian agenda 2030 untuk pembangunan mampan.

“Pada masa sama dapat menangani cabaran global sedia ada, termasuk langkah sekatan perdagangan yang dikenakan oleh negara pengimport,” katanya.

Majlis itu turut menekankan komitmennya untuk menyokong usaha pemahaman mengenai minyak sawit yang berasaskan sains.

"Keutamaannya adalah menjalankan kajian komprehensif bagi menghasilkan bukti kukuh mengenai peranan positif minyak sawit dalam memacu pertumbuhan ekonomi, memastikan aspek keterjaminan makanan serta mencapai matlamat pembangunan mampan,” katanya.

CPOPC berkata menerusi penerbitan data diyakini di peringkat antarabangsa, kalangan ahli juga percaya majlis itu dapat menangani maklumat salah, salah tanggapan serta dakwaan tidak berasas yang dihadapi industri.

Selain itu, CPOPC turut menegaskan peranan kritikalnya dalam memastikan kesejahteraan dan keterangkuman pekebun kecil kelapa sawit menerusi pelbagai program galakan amalan mampan di seluruh industri kelapa sawit.

“Inisiatif ini memberi tumpuan untuk memperkasa pekebun kecil dengan menyokong akses kepada sumber penting, latihan serta peluang pembinaan kapasiti sambil mengukuhkan suara kolektif mereka di pentas global," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan