KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- PTSC Asia Pasifik melaksanakan kontrak untuk penyediaan, penyewaan, operasi dan penyelenggaraan kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO) untuk projek Lac Da Vang dan Murphy Cuu Long Bac Oil Co Ltd.
PTSC Asia Pasifik merupakan syarikat usaha sama di antara Yinson Production Offshore Pte Ltd (49 peratus) dengan PetroVietnam Technical Services Corporation (51 peratus).
Yinson Production berkata kontrak itu mempunyai tempoh kukuh selama 10 tahun dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak sehingga lima tahun dengan nilai keseluruhan sehingga kira-kira US$416 juta (US$1=RM4.44).
“Projek Lac Da Vang FSO adalah bukti kekuatan kerjasama kami dengan PTSC dan visi bersama untuk kecemerlangan operasi.
"Kami berbangga untuk memainkan peranan penting dalam menyokong keterjaminan tenaga Vietnam," kata Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Gronnegaard dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Yinson Production, FSO akan menjadi kapal dwi-badan yang dibina baharu dengan kapasiti penyimpanan sekitar 500,000 tong dan sistem dwi-bahan api termaju untuk kecekapan yang dioptimumkan.
Selepas tempoh pembinaan kira-kira dua tahun, FSO dijangka memulakan operasi di medan Lac Da Vang yang terletak di Blok 15-1/05 luar pesisir Vietnam pada suku keempat 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial