KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Trafik penumpang udara Malaysia bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencecah 80.3 juta, seiring dengan jangkaan tahunan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) iaitu 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang sepanjang tahun.
Mavcom menyifatkan pertumbuhan itu mencerminkan pemulihan stabil dalam perjalanan antarabangsa dan domestik, berdasarkan prestasi kukuh dicatatkan pada September 2024 dengan Oktober 2024 yang menyaksikan lapan juta penumpang, menandakan peningkatan 13.0 peratus tahun ke tahun.
Bagaimanapun angka itu mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 2.7 peratus bulan ke bulan berbanding 8.2 juta penumpang udara pada September 2024, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Trafik penumpang pada Oktober mencapai 89.7 peratus daripada yang dicatatkan pada Oktober 2019, mencerminkan pemulihan berterusan dalam perjalanan antarabangsa dan domestik selepas pandemik.
“Trafik udara antarabangsa kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada Oktober 2024 dengan 4.2 juta penumpang direkodkan yang mewakili peningkatan kukuh sebanyak 20.5 peratus tahun ke tahun bersamaan 95.3 peratus daripada tahap yang dicatatkan Oktober 2019,” katanya.
Menurut Mavcom, trafik antarabangsa bukan ASEAN pula mencatatkan prestasi cemerlang dengan peningkatan 25.6 peratus tahun ke tahun manakala laluan ASEAN juga menunjukkan pertumbuhan sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun.
Katanya bagi trafik penumpang udara domestik, Oktober 2024 mencatatkan 3.8 juta penumpang, mencerminkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus, tetapi penurunan bulan ke bulan sebanyak 5.1 peratus.
Mavcom berkata pada September 2024, perjalanan antarabangsa bukan ASEAN melebihi tahap prapandemik buat kali pertama, dengan kadar pemulihan sebanyak 101.0 peratus.
“Pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada September dan Oktober disumbangkan oleh peningkatan kapasiti tempat duduk, pengenalan laluan baharu serta pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India.
“Langkah ini telah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi kedua-dua pelancong yang datang sama ada untuk bercuti ataupun atas urusan kerja,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pemulihan berterusan sektor penerbangan Malaysia terbukti melalui pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh bagi Oktober, mengekalkan momentum positif yang dicapai pada September.
“Keyakinan yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan global, disokong oleh inisiatif kerajaan seperti pengecualian visa buat pelancong dari China dan India serta pengenalan laluan antarabangsa baharu, telah memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan, terutamanya dalam pasaran bukan ASEAN,” katanya.
Pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India berkuat kuasa hingga 2025 akan terus menyokong permulihan dan pertumbuhan sektor berkenaan
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial