KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Menggalas tanggungjawab sebagai atlet memanah yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan pada masa terpaksa menghabis pengajian dalam Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan satu tugas mudah.
Namun berkat kegigihan dan keazaman yang tinggi Syaqiera Mashayikh, 24, kini boleh tersenyum puas apabila berjaya menamatkan pengajiannya sekali gus berjaya mengengam segulung ijazah.
“Menjadi atlet yang mewakili negara sambil menyiapkan projek tahun akhir (FYP) sangat mencabar kerana saya merasai tekanan daripada latihan memanah dan juga pelajaran.
“Namun saya tidak ingin mengabaikan pelajaran demi sukan, itu tidak selari dengan prinsip saya. Kalau saya memulakan sesuatu, saya ingin lakukannya betul-betul,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh UPM di sini hari ini.
Gadis berasal dari Segamat, Johor itu berkata beliau mampu menempuh segala cabaran kerana mendapat sokongan daripada keluarga, rakan-rakan serta pihak UPM selain jurulatihnya banyak membantu dari segi membahagikan masa antara latihan memanah dan pelajaran, selain menyuruhnya pergi ke kelas.
“Keluarga dan rakan-rakan saya juga banyak memberi sokongan dan bantuan ketika final year kerana mereka tahu betapa susahnya untuk membahagikan masa antara latihan Sukan Olimpik dan mengejar due date FYP.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pensyarah yang sangat memahami jadual latihan saya dan sanggup memberi pertolongan jika saya perlukan,” katanya.
Syaqiera turut menasihati atlet-atlet yang sedang belajar sambil menjalani latihan sukan untuk tidak berputus asa kerana ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan menjamin masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial