WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAIKUN PERNIAGAAN RENDAH DIRI, SAHABAT KENANG KEPERIBADIAN ANANDA KRISHNAN

02/12/2024 10:11 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

PETALING JAYA, 2 Dis (Bernama) -- Dalam dunia taikun perniagaan yang menyaksikan kejayaan lazimnya bertemankan kemasyhuran, kehebatan dan publisiti, seorang individu memilih jalan sebaliknya dengan mengetepikan kesemua itu walaupun berstatus antara orang terkaya Malaysia iaitu Ananda Krishnan.

Di sebalik kedudukannya sebagai individu ketiga terkaya Malaysia dan ke-667 terkaya dunia, Ananda atau lebih sinonim dengan “AK” yang meninggal dunia pada Jumaat lepas, juga dikenali sebagai dermawan dan pemurah.

Ketangkasannya dalam mengendalikan selok-belok perniagaan, membolehkan Ananda membangunkan beberapa syarikat gergasi yang merangkumi pelbagai sektor.

Walaupun melonjakkan profil korporat Malaysia dalam bidang telekomunikasi, hiburan, permainan, perkhidmatan medan minyak dan pembangunan satelit global, ternyata sikap rendah hatinya lebih menyerlah.

“Tolong jangan sebut nama saya untuk sebarang sumbangan. Katakan saja ini sumbangan daripada MCEF (Yayasan Pendidikan Komuniti Malaysia)...bukan daripada Ananda Krishnan," kata Datuk A. Vaithilingam, rakan lama mendiang bilionair ketika berkongsi kenangan mengenai Ananda, kepada Bernama, hari ini.

“Terma” enggan dikenali itu menjadi prasyarat ditetapkan Ananda dan hanya selepas ianya dipersetujui, beliau akan melakukan sumbangan itu, termasuk kepada yayasan lain.

Vaithilingam juga mengimbau bagaimana Ananda memulakan sumbangan kepada Malaysia Hindu Sangam ketika tempoh Vaithilingam menjadi presiden dan wakil bagi badan penduduk Hindu di Malaysia.

Saban tahun bagi tempoh 2003 hingga 2009, pihak Malaysia Hindu Sangam mengemukakan laporan dan perancangan yang turut diteliti oleh akauntan bertauliah.

“Setiap kali juga, Ananda akan memuji ketelitian mereka, menumpukan impak kerja mereka dan bukannya mendapatkan sebarang kredit peribadi," kata Vaithilingam.

Beliau pertama kali bertemu Ananda pada 1946 di Brickfields dan persahabatan mereka kian kukuh bertahun-tahun lamanya daripada zaman kanak-kanak kepada dewasa yang akrab.

Ananda, kata Vaithilingam, amat mengutamakan pendidikan dan pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Beliau sentiasa bersedia memberi pertimbangan sumbangan jika ada kaitan dengan kedua-dua aspek itu," katanya.

Pada awal bersahabat, mereka juga sama-sama mendalami bahasa Tamil di Ashram Vivekananda.

“Beliau sememangnya pemalu, tidak banyak bercakap...sama seperti ibunya. Malah, ibu Ananda sering mengunjungi keluarga saya selain bertembung di kuil.

“Ibu Ananda juga tidak suka dikenali dan sikap rendah diri itu ternyata diwarisi Ananda,” katanya.

Ananda yang meninggal dunia di Switzerland, mempunyai seorang anak lelaki yang juga seorang sami Buddha serta dua anak perempuan. Upacara bagi penghormatan terakhir untuk mendiang akan diadakan esok.

Dilahirkan pada 1 April, 1938 di Brickfields, Ananda atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan atau T. Ananda Krishnan, muncul salah seorang tokoh perniagaan paling terkemuka di Malaysia.

Lepasan Harvard Business School, Ananda mengasaskan syarikat pegangan pelaburan, Usaha Tegas Sdn Bhd dan seterusnya Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.

Kepimpinan dan strategi korporat beliau membantu mendorong Maxis menjadi salah satu penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.

Media kewangan Forbes melaporkan kekayaan Ananda bernilai US$5.1 bilion (US$1 = RM4.4325) setakat 27 Nov, 2024 yang membolehkan beliau berstatus orang ke-667 terkaya dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan