KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Hujan lebat luar biasa dengan taburan melebihi 1,000 milimeter (mm) bersamaan jumlah hujan bagi tempoh enam bulan di Kelantan dan Terengganu menjadi punca utama banjir besar yang melanda kebanyakan daerah dan jajahan di Pantai Timur.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai dicatatkan di kedua-dua negeri itu pada kali ini lebih tinggi berbanding banjir besar pada 2014.
“Hujan lebat di luar kebiasaan ini bermakna limpahan hujan purata (mencatatkan peningkatan ketara), ada yang melebihi dua kali ganda (daripada kelaziman) selain dipengaruhi oleh fenomena air pasang besar.
“Apabila paras sungai dan laut yang tinggi bertembung, menyebabkan limpahan terjadi, ” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian pada sidang media selepas diberikan taklimat berkaitan persiapan menghadapi banjir oleh pegawai JPS semasa melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Ampang hari ini.
Fadillah berkata hingga semalam, PRABN telah mengeluarkan 31 notis ramalan awal di 11 negeri termasuk Johor, Kelantan dan Terengganu.
“Sebanyak 27 Notis Hebahan Amaran Banjir telah dikeluarkan, melibatkan 27 daerah dan 518 kawasan banjir. Terbaharu, amaran banjir dikeluarkan untuk tujuh kawasan di Besut dan tiga kawasan di Setiu dengan risiko banjir dijangka berlaku antara 3 hingga 6 Dis ini,” jelas beliau.
Fadillah turut memaklumkan semua empangan di seluruh negara masih berada dalam keadaan terkawal tanpa limpahan yang boleh mencetuskan banjir.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku bencana banjir di Pahang dan Johor susulan aliran air dari Kelantan dan Terengganu yang dijangka mengalir ke negeri-negeri berkenaan.
“Kalau ikut jangkaan, lepas ini aliran (banjir) itu akan turun ke Pahang dan Johor. Jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.
Mengulas potensi gelombang kedua banjir yang mungkin berlaku antara 8 hingga 14 Dis ini akibat luruan monsun, Fadillah berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bersiap siaga untuk meneruskan pemantauan dan menyebarkan maklumat kepada media serta orang ramai untuk persediaan.
“Menurut ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hujan berterusan dijangka berlaku sepanjang tempoh itu, cuma volume (jumlah) kita tidak pasti … tapi kita akan bersiap sedia sekiranya intensiti hujan lebih lebat daripada sekarang,” katanya.
Terdahulu, Fadillah menerima taklimat daripada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkenaan bencana banjir yang direkodkan sejak 5 Nov lepas, susulan bermulanya Monsun Timur Laut (MTL).
Menurut data JPS, sebanyak 289 kejadian banjir telah direkodkan dalam luruan kedua MTL baru-baru ini dengan 116 daripadanya berlaku di Terengganu.
Sementara itu, tiga jenis banjir dikenal pasti sebagai punca utama iaitu banjir monsun, banjir kilat dan banjir pantai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial