KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.
Perkara itu diumumkan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika mempengerusikan sementara persidangan Dewan Rakyat malam ini.
RUU itu diluluskan setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 November lepas bagi setiap kementerian terlibat.
Terdahulu, RUU Perbekalan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2025 di peringkat dasar pada 12 November lepas selepas dibahaskan selama lapan hari bermula 21 Oktober dan melalui sesi penggulungan selama empat hari mulai 6 November.
Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober melibatkan peruntukan RM421 bilion, iaitu belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Belanjawan itu menumpukan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial