WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEJATI MADANI: PROJEK TERNAKAN IKAN GUNA BIOFLOK JANA PENDAPATAN JPKK KAMPUNG PIANDANG

04/12/2024 02:32 PM

BATU GAJAH, 4 Dis (Bernama) -- Inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Piandang, Siputeh, di sini, mengubah lot tanah terbiar kepada projek ternakan ikan tilapia merah menggunakan sistem bioflok sejak September lalu dijangka mampu meraih pendapatan mencecah lima angka.

Pengerusi JPKK Kampung Piandang Umar Ali Sellaman Kuti berkata proses pembangunan projek Pusat Akuakultur Bioflok Siputeh di kawasan seluas 0.8 hektar itu bermula Jun lepas dengan peruntukan RM100,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI).

“Dana berkenaan kita terima sekitar penghujung Mei lalu. Sebulan kemudian kita telah mula  proses pembinaan pusat ternakan ikan ini yang dilengkapi dengan beberapa kemudahan asas seperti pejabat, tandas, kolam kanvas serta mesin oksigen.

“Sejak awal September lepas kita telah mula masukkan benih ikan tilapia merah dan baung secara berperingkat ke dalam kolam-kolam ini dengan anggaran saiz sekitar 3 inci seekor,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata buat masa ini 16,000 ekor ikan tilapia diternak dalam lapan kolam berkeluasan lima meter padu dengan saiz purata sekitar sekitar tujuh inci setiap ekor.

Umar Ali berkata setiap dari kolam berkenaan dijangka mampu menghasilkan kira-kira 4,000 kilogram (kg) ikan tilapia merah dengan nilai pasaran mencecah RM40,000 sekali pengeluaran. 

“Ikan tilapia ini akan memgambil masa kira-kira empat bulan untuk mencapai tempoh matang. Kita jangka pada awal Januari tahun depan boleh dijual dengan berat sekitar 400 gram seekor.

“Buat masa ini, beberapa pihak (pembeli) dari Perak, Kuala Lumpur dan Johor sedang berurusan dengan kita untuk tujuan pembelian ikan ini selepas mencapai tempoh matang,” katanya.

Mengulas kelebihan sistem bioflok, beliau berkata kaedah tersebut menggunakan bantuan bakteria khusus dan berperanan menguraikan sisa makanan dan buangan (najis ikan) menjadi flok atau gumpalan yang boleh dimakan semula oleh ikan sekali gus menjimatkan kos khususnya dalam penyediaan makanan serta penggunaan air bagi keperluan projek tersebut.

“Kalau ikut kaedah konvensional, kita perlu beri makan pelet paling kurang dua atau tiga kali sehari. Ini sudah tentu perlu menggunakan kos ribuan ringgit setiap bulan untuk pembelian pelet.

“Berbanding sistem bioflok, kita gunakan cecair (bakteria) khusus ke dalam kolam bagi memproses sisa buangan (najis) ikan ini menjadi makanan semula. Jadi, dari situ kos untuk pembelian makanan itu dapat dijimatkan dan digunakan kepada keperluan lain,” katanya.

Umar Ali berkata sistem ini secara asasnya mudah diuruskan dan kurang ancaman daripada binatang liar seperti memerang, bangau, ular dan sebagainya.

Beliau berkata hasil pendapatan yang dijana melalui projek berkenaan akan disalurkan kepada tabung komuniti bagi tujuan membantu golongan kurang berkemampuan.

Ditanya perancangan masa depan projek yang diusahakan, beliau berkata pihaknya berhasrat mengusahakan pembenihan ikan tilapia merah dalam skala besar menggunakan kaedah sama.

“Ini antara perancangan masa depan yang saya lihat ada potensi untuk dikembangkan dan mampu mengaut keuntungan yang lumayan. Jika berjaya, ia juga boleh membuka ruang kepada orang kampung dari sudut peluang pekerjaan,” katanya.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan