Obesiti boleh memberi kesan kepada kesihatan seseorang, dan di Malaysia, masalah ini dilihat semakin membimbangkan dengan lebih separuh daripada rakyat tergolong dalam kategori berat badan berlebihan.
Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sekitar 54.4 peratus rakyat Malaysia tergolong dalam kategori berat badan berlebihan atau obes.
Dapatan itu mencerminkan trend peningkatan berterusan sejak dekad lalu dengan kadar obesiti melonjak hampir 10 peratus berbanding 2011.
Malah, menurut data terkini The World Factbook - Central Intelligence Agency (2016-2024), Malaysia merupakan negara kedua di Asia Tenggara selepas Brunei Darussalam yang mempunyai ramai rakyat mengalami obesiti.
Pakar merumuskan trend peningkatan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia ini mencerminkan gaya hidup kurang aktif dan tabiat pemakanan yang tinggi lemak serta gula, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko pelbagai penyakit kronik, antaranya diabetes, panyakit jantung dan hipertensi.
RAWATAN MENURUNKAN BERAT BADAN
Menurut Pakar Perunding Pembedahan Gastrousus dan Obesiti di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Prof Datuk Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood, obesiti berisiko menyebabkan pelbagai penyakit yang secara langsung meningkatkan perbelanjaan kesihatan negara.
“Justeru, kadar peningkatan obesiti ini memerlukan perhatian serius kerana sejumlah besar dana negara dibelanjakan bagi merawat penyakit yang sebenarnya boleh dicegah dan dielak,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, di sini baru-baru ini.
pic-2
Untuk menguruskan masalah berat badan berlebihan, seseorang lazimnya menjaga pemakanan selain bersenam secara tetap, namun yang berkemampuan akan memilih menjalani rawatan, dan menurut Dr Nik Ritza Kosai, kecanggihan teknologi perubatan menawarkan pelbagai rawatan untuk menangani masalah obesiti seperti pembedahan bariatrik.
“Dalam tempoh sedekad lalu, permintaan terhadap pembedahan bariatrik semakin meningkat, didorong oleh kesedaran tentang risiko kesihatan dan komplikasi yang mungkin dialami oleh individu obes,” katanya.
Menurut beliau, terdapat beberapa prosedur pembedahan bariatrik seperti prosedur gastrektomi vertikal, pintasan gastrik mini dan pintasan gastrik Roux-en-Y
”Ketiga-tiga prosedur pembedahan ini dilakukan melalui teknik laparoskopi (pembedahan invasif minimum)
“Prosedur-prosedur ini antaranya dapat mengubah cara tubuh memproses makanan untuk mengurangkan jumlah kalori yang diserap, mengurangkan kapasiti perut secara langsung dan mengalihkan sebahagian daripada usus kecil bagi mengurangkan penyerapan kalori dan nutrien,” jelas Dr Nik Ritza Kosai.
BELON TELAN ALLURION
Bagaimanapun kata beliau, kini semakin ramai yang memilih inovasi rawatan tanpa pembedahan invasif, iaitu belon intragastrik (The swallowable intragastric balloon) atau (IGB).
Menurutnya, prosedur ini disarankan kepada individu yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) antara 27.5 dan ke atas, terutamanya mereka yang tidak mencapai hasil melalui kaedah lain, serta individu yang mengalami obesiti teruk dan gagal menurunkan berat badan melalui diet dan senaman.
pic-3
“IGB ialah alat yang dimasukkan ke dalam perut secara endoskopi ataupun dengan menelan kapsul khas yang berfungsi mengehadkan jumlah pengambilan makanan serta memberi rasa kenyang lebih awal,” katanya.
Menurut beliau, keseluruhan prosedur hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit.
Menghuraikan inovasi rawatan penurunan berat badan itu, Dr Nik Ritza Kosai berkata terdapat pelbagai jenis belon intragastrik, tetapi hanya jenis Allurion yang tidak memerlukan endoskop untuk pemasangan.
”Pesakit hanya perlu menelan kapsul, dan bila belon dikembangkan dengan 550 mililiter air, ia akan berada dalam perut selama empat bulan. Selepas tempoh tersebut, belon akan mengempis dengan sendirinya dan akan keluar melalui sistem pencernaan secara semula jadi apabila pesakit membuang air besar.
“Belon ini diperbuat daripada bahan polyurethane atau polimer elastomer yang sangat tahan lasak dan fleksibel, dapat menahan tekanan dalam perut. Risiko untuk belon pecah sangat rendah dan prosedur ini sangat selamat serta mudah” katanya.
UBAH GAYA HIDUP, KAWAL DIET DAN BERSENAM
"Dengan kehadiran belon dalam perut, pesakit akan cepat berasa kenyang, mungkin hanya selepas makan suku pinggan. Apabila berlaku defisit kalori dalam badan, tubuh akan membakar lebih banyak kalori dan lemak, sekali gus membantu pesakit obes menurunkan berat badan," jelas beliau.
Tegasnya, meskipun prosedur Allurion IGB terbukti dapat mengurangkan berat badan 10 hingga 15 peratus, pesakit tetap perlu mengubah gaya hidup, meningkatkan aktiviti senaman dan mengawal pengambilan kalori.
pic-4
“Cuba kurangkan makanan yang boleh menyebabkan kegemukan... ini paling penting. Masih perlu mengawal dan mengubah gaya hidup serta bersenam lebih kerap.
“Tujuan utama prosedur ini untuk mengurangkan kapasiti perut, menjadikan individu cepat kenyang walaupun makan dalam jumlah kecil, serta membantu mengawal nafsu makan, sekali gus memudahkan usaha penurunan berat badan,” tambah beliau lagi.
Dalam artikelnya bertajuk: One-Year Outcomes in a Supervised Program of Swallowable Intragastric Balloon-Analysis of 486 Patients in a High-Volume Bariatric Centre in Malaysia. Dr Nik Ritza Kosai menjelaskan selepas empat bulan, berat badan menurun secara purata 10.5 peratus, manakala selepas setahun (walaupun belon tidak lagi ada di dalam perut), penurunan berat badan terus berlaku hingga 13.7 peratus berbanding berat asal.
PEMAKANAN YANG KETAT DAN BERJADUAL
Sementara itu, Dr Loo Guo Hou, pakar bedah bariatrik di hospital sama, berkata pesakit yang menjalani prosedur IGB perlu mengikuti fasa diet yang ketat bagi memastikan keberkesanan rawatan dan mengelakkan komplikasi.
"Ini termasuk fasa cecair penuh untuk tiga hari pertama, iaitu pesakit hanya dibenarkan mengambil cecair jernih seperti air kosong, sup tanpa lemak, jus tanpa gula dan minuman isotonik bagi memberi masa kepada perut untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran belon,” kata Dr Loo.
pic-5
Fasa Separuh Cecair (hari kelapan hingga 14), pesakit mula diperkenalkan makanan lembut seperti bubur, yogurt rendah lemak dan puri buah-buahan yang saiz hidangannya dikawal bagi mengelakkan rasa tidak selesa atau loya.
"Pada Fasa Makanan Lembut (minggu ke-3), makanan seperti telur rebus, ikan kukus atau sayur-sayuran rebus dimasukkan dalam diet pesakit dengan kuantiti kecil. Kemudian, pada Fasa Makanan Biasa (selepas minggu ke-4), pesakit boleh kembali kepada makanan biasa, namun disarankan memilih makanan yang rendah lemak, rendah gula dan kaya dengan serat,” katanya.
KEJAYAAN RAWATAN ALLURION IGB
Penjawat awam Nur Amalina Elias, 33, antara yang menjalani rawatan IGB di HCTM dan dia berjaya menurunkan beratnya sebanyak empat kilogram selepas dua bulan menjalani rawatan itu.
“Saya masih muda, tapi sudah ada sakit lutut dan sukar nak beribadah. Selain itu, usaha saya untuk menjaga pengambilan makanan juga tidak berjaya,” katanya yang sebelum ini mempunyai berat badan 90 kg.
Bagaimanapun jelas wanita ini, penurunan berat badannya agak perlahan dan kurang memberangsangkan kerana dia mengalami masalah sakit lutut kiri yang menyukarkannya bersenam.
Petugas pentadbiran HCTM Aqilah Yunus, 30, pula berjaya menurunkan berat badan sebanyak 23 kg berbanding berat asal 114 kg sejak menjalani rawatan IGB pada Januari 2023. Kini beratnya 89.5 kg.
“Minggu pertama dah nampak hasil. Selama empat bulan saya kurangkan pengambilan gula di samping melakukan senaman seperti brisk walking dan kini badan terasa ringan sangat. Bila naik tangga dah tak ada masalah,” katanya.
Bagi Syahirah Aqilah, 32, warga HCTM yang menjalani rawatan sama pada Ogos 2023, berat badannya berkurangan hampir 20 kg, iaitu daripada 82 kepada 68 kg, dalam tempoh 16 bulan.
“Dalam seminggu berat saya turun 3.0 kg, kemudian susut lagi 2.0 kg dan seterusnya 3.0 kg selepas beberapa minggu menjalani rawatan,” katanya, menambah rawatan IGB sangat mudah namun memerlukan latihan dan disiplin dalam mengawal nafsu makan.
"Makan ikut portion tetapi kerap dan mematuhi nasihat pakar adalah kunci kejayaan,” katanya yang menyasarkan untuk mencapai berat badan 60 kg menjelang Januari 2025.
"Jika kita mengikut 100 peratus pelan yang disarankan oleh pakar pemakanan dan nasihat pakar, kita akan dapat hasil yang memberangsangkan. Berat badan akan lebih cepat susut jika digabungkan dengan senaman yang bersesuaian," tambahnya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial