WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JEPUN, MALAYSIA KUKUH KERJASAMA ISU SERANTAU, GLOBAL

10/01/2025 02:29 PM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Jepun dan Malaysia komited untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa, termasuk ketegangan di Laut China Timur, Laut China Selatan, Timur Tengah serta krisis yang berlarutan di Myanmar.  

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba yang kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia menegaskan kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan komunikasi rapat dalam isu-isu berkenaan, mengukuhkan komitmen bersama ke arah mempromosikan keamanan dan kestabilan.  

Dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Jumaat, Ishiba berkata mereka bertukar pandangan mengenai isu Laut China Timur, Laut China Selatan, Timur Tengah dan situasi di Myanmar.  

"Kami bersetuju untuk mengekalkan komunikasi rapat berhubung perkara ini," kata Ishiba semasa sidang media bersama Anwar Ibrahim di sini.

Ishiba kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Oktober tahun lalu.

Menyoroti peranan strategik Malaysia sebagai jambatan antara Asia Tenggara dan Timur Tengah, Ishiba berkata Jepun menghargai kerjasama dengan Malaysia dalam menangani cabaran serantau serta memanfaatkan kepakaran ekonomi dan pandangan Asia Timur.  

“Kami bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau, termasuk menangani isu di Timur Tengah,” katanya.  

Ishiba turut mengumumkan komitmen Jepun untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam pengurusan risiko bencana, memandangkan cabaran banjir yang kerap dihadapi negara.  

“Malaysia sering berdepan kerosakan akibat banjir. Dengan kepakaran dan pengalaman Jepun dalam pengurusan risiko bencana, kami bersetuju untuk bekerjasama bagi menangani isu ini,” katanya.  

Menyentuh mengenai Ekspo Dunia 2025 di Osaka yang akan berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt tahun ini, Ishiba secara peribadi menjemput Anwar untuk hadir sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.  

Sambil mengalu-alukan rakyat Malaysia ke ekspo berskala dunia itu, Ishiba berkata: “Saya berharap dapat menyambut ramai pelawat dari Malaysia ke Jepun semasa Ekspo 2025 Osaka, Kansai dan menawarkan layanan terbaik.”  

Ekspo 2025 Osaka, bertemakan "Designing Future Society for Our Lives", dijangka menarik jutaan pengunjung dari seluruh dunia, sekali gus menjadi peluang unik untuk Malaysia dan Jepun memperkukuh hubungan budaya dan ekonomi.  

Diadakan setiap lima tahun, ekspo ini menghimpunkan negara-negara dari seluruh dunia bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran global melalui tema sejagat: "Designing Future Society for Our Lives".  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan