WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGANJURAN HAVOC FOOD FESTIVAL DI SETAPAK DIARAH DIHENTIKAN

11/01/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Penganjuran Karnival Havoc Food Festival yang diadakan di tempat letak kereta Sama Square di Setapak sejak 9 Jan dan dijangka tamat esok (12 Jan), diarah dihentikan bermula hari ini, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan arahan itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut memaklumkan bahawa permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu sebelum ini telah ditolak sebanyak dua kali disebabkan permohonan lewat dan aduan daripada penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.

“Pihak penganjur diingatkan untuk tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam,” katanya.

Tular di media sosial sejak 9 Jan lepas apabila rata-rata penduduk di sekitar kawasan itu meluahkan reaksi negatif kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas hampir dua jam yang berpunca daripada penganjuran karnival berkenaan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan