WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ABANG JOHARI YAKIN KEUTUHAN PARTI TIDAK TERGUGAT

11/01/2025 06:33 PM

SIBU, 11 Jan (Bernama) -- Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin tiada sebarang masalah akan timbul yang boleh menggugat keutuhan parti ketika peralihan kuasa suatu hari nanti.

Beliau berkata peralihan kepimpinan dari Tun Abdul Taib Mahmud kepada Tun Adenan Satem dan seterusnya kepada beliau, telah berlaku tanpa sebarang masalah.

“Pada usia yang mencecah 74 tahun, akan sampai masanya tempat saya digantikan orang lain.

“Apakah selepas saya akan ada masalah?” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Persoalan beliau itu disambut dengan jawapan ‘Tidak’ oleh lebih 2,700 perwakilan yang hadir ke persidangan tersebut.

Premier Sarawak itu berkata setiap barisan parti termasuk sayap Wanita dan Pemudanya perlu berpandangan jauh supaya parti terus berjuang untuk masa depan rakyat.

“Dalam melihat kejayaan kita, kita lihat jugalah masa depan. Oleh sebab itu kita telah bersetuju untuk mewujudkan Belia PBB yang mewarisi kejayaan dan menguruskan usaha kita dalam landskap yang baharu,” katanya.

Abang Johari juga berharap dapat melahirkan generasi bumiputera yang pandai dan mempunyai kepakaran dalam bidang sains serta disiplin yang baharu.

Persidangan tersebut yang melibatkan 24 cawangan PBB dari Zon Tengah Sarawak menyaksikan sebanyak 15 usul dicapai.

Usul berkenaan antara lain termasuk memberi sokongan padu kepada Abang Johari untuk terus menerajui PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memacu kestabilan politik Sarawak dan Malaysia dan tiada pertandingan bagi jawatan presiden hingga naib presiden parti semasa Konvensyen ke-16 PBB di Kuching 14 Feb depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan