KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- US Pizza, rangkaian piza tempatan terbesar di Malaysia, meraikan pembukaan cawangan terbaharu di Melawati Mall di sini hari ini, menandakan pencapaian signifikan jenama itu dengan memperkenalkan konsep revolusioner baharu dan menarik perhatian tokoh terkemuka daripada komuniti perniagaan di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, US Pizza memaklumkan cawangan terbaharu di Melawati Mall itu menampilkan reka bentuk moden yang menggabungkan elemen futuristik dengan estetik minimalis, menghasilkan ruang yang cerah, terkini dan mesra untuk semua lapisan masyarakat.
"Reka bentuk restoran ini berbeza daripada susun atur restoran piza tradisional, suasana yang luas dan menarik dengan susunan tempat duduk selesa dan pencahayaan semula jadi yang mencukupi," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, konsep baharu US Pizza mengutamakan pengalaman menjamu selera yang unggul dengan pengenalan perkhidmatan meja. Pengunjung diberi layanan peribadi lebih santai, membolehkan mereka menikmati hidangan dalam suasana yang tenang dan selesa.
Cawangan di Melawati Mall itu merupakan langkah pertama dalam rancangan pengembangan agresif US Pizza dan jenama itu komited membawa konsep inovatif dan piza yang lazat ke lebih banyak kawasan kejiranan di seluruh Malaysia.
"Tahun ini menyaksikan pertumbuhan ketara dengan pembukaan 30 lagi lokasi di sekitar Lembah Klang, diikuti dengan pembukaan di negeri lain di seluruh negara. US Pizza juga berbangga dengan kewujudan cawangan di Singapura dan Indonesia, dan akan terus meneroka peluang untuk pertumbuhan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bersempena dengan Tahun Baharu Cina, US Pizza menawarkan set The Golden Deal yang merangkumi dua Chef's Best Pizzas (saiz biasa - 9") dengan pilihan Indiana BBQ Smoky Duck Pizza, San Diego Golden Tempura Pizza atau Fish 'N' Chip Pizza, bersama dua hidangan Curly Fries dan sebotol air Sprite untuk masa terhad.
Pembukaan cawangan terbaharu itu diserikan dengan kehadiran Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Chek Zainuddin Chek Jusoh, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Dr Radzali Hassan dan pihak pengurusan US Pizza.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan gimik menarik keju menggunakan piza Cheeseboat terkenal. Detik itu bukan sahaja menghiburkan tetamu, tetapi juga menyerlahkan dedikasi US Pizza terhadap kreativiti dan kualiti produknya.
Tetamu turut dihidangkan dengan piza bersaiz besar (13") yang unik, menampilkan lapan kepingan berlainan dengan pelbagai topping, iaitu Simply Cheese Pizza, Aloha Pizza, Italian Aloha Deluxe Pizza, Bolognese Pizza, Chicken Classic, Spicy Chicken Delite, US Favourite dan Vege Lover.
"Variasi menarik ini dihidangkan bersama set The Golden Deal eksklusif, menunjukkan komitmen US Pizza dalam menyampaikan rasa yang lazat dan pengalaman kulinari menyeronokkan," menurut kenyataan itu.
US Pizza menjadi jenama kegemaran rakyat Malaysia selama lebih dua dekad, sentiasa menyajikan piza berkualiti tinggi dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, dan komitmen jenama itu terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan ialah bukti kepada konsep baharu dan pelan pengembangan.
"Dengan tumpuan terhadap kemampuan dan kebolehcapaian, US Pizza berhasrat menjadi jenama piza terkemuka bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia Tenggara," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial