WILAYAH - UTARA > BERITA

PERDANA MENTERI SALUR SUMBANGAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI TANJUNG DAWAI

12/01/2025 06:50 PM

SUNGAI PETANI, 12 Jan (Bernama) -- Seramai 16 keluarga yang terjejas akibat kebakaran rumah panjang di Tanjung Dawai dekat sini, Ahad lepas, menerima peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM80,000.

Sumbangan diserahkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim kepada ketua isi rumah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Cheng, Tanjung Dawai dekat sini, hari ini.

Muhammad Kamil berkata sumbangan itu diharap sedikit sebanyak dapat menampung beban keluarga yang terlibat.

"Hari ini saya turun bagi mewakili Perdana Menteri melihat sendiri keadaan mangsa yang rumah mereka terlibat dengan kebakaran Ahad lalu serta menyerahkan sumbangan daripada Perdana Menteri.

"Diharap sumbangan ini dapat mereka gunakan untuk mencari penempatan sementara...sehingga status penempatan mereka dapat diputuskan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa akan berada di PPS terbabit sehingga suatu tempoh yang belum dapat dipastikan.

"Sudah tentulah duduk di PPS, ruang agak terhad, satu keluarga satu khemah, satu keluarga ada dua hingga empat anggota, jadi keadaan kurang selesa.

"Tapi apa pun, mereka reda dan pasrah, mereka faham apa yang terjadi ini bukan mereka pinta," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbincangan turut dibuat dengan pihak pengurusan PPS untuk melanjutkan tempoh penempatan tersebut sehingga mangsa dapat berpindah ke tempat baharu yang lebih selesa.

"Setakat ini tiada tarikh khusus sehingga bila mereka di PPS, saya minta jawatankuasa penduduk untuk sedaya upaya membantu mangsa mencari penempatan baharu.

"Kalau sukar dapatkan di kawasan sini, terpaksa keluar jauh sedikit kerana kita tiada pilihan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan