WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN TUN M DIWAKILI PEGUAM PADA PROSIDING RCI BATU PUTEH

13/01/2025 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membolehkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan itu tanpa sebarang kos, pada prosiding yang dihadiri peguam Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir, serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan mewakili responden.

"Semakan kehakiman ditolak dan tiada perintah terhadap kos," kata Amarjeet dalam penghakiman ringkasnya.

Ditanya Zainur mengenai alasan penolakan permohonan itu, Amarjeet menjawab, "Saya akan menulis alasan penuh penghakiman dalam masa terdekat."

Pada 12 Jun tahun lepas, bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup, dan RCI telah menyahklasifikasikan laporannya yang dikeluarkan pada 5 Dis 2024.

Laporan RCI antaranya berpendapat bahawa Tun Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkaitan, walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas dan kebarangkalian permohonan tersebut untuk berjaya.

Dua permohonan itu adalah bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu, adalah milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Dalam laporan setebal 217 muka surat, RCI turut mengesyorkan agar siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dan beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Dr Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 5 Jun tahun lepas, menamakan lapan responden termasuk Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan mendakwa beliau tidak dibenarkan untuk diwakili peguam pilihannya pada prosiding RCI, selain mendakwa beliau mempunyai hak untuk diwakili peguam pilihan dalam siasatan berkenaan.

Dr Mahathir memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya, justeru beliau memohon perintah mandamus untuk membenarkannya dan peguam hadir sepanjang prosiding RCI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan