WILAYAH - UTARA > BERITA

FCOEE MAIN PERANAN PENTING TERHADAP PENDIDIKAN DI PERLIS

13/01/2025 12:22 PM

KANGAR, 13 Jan (Bernama) -- Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) memainkan peranan penting terhadap bidang pendidikan di Perlis apabila turut menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 iaitu mencatatkan 4.74 berbanding 4.82 pada 2022.

FCoEE dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menjalinkan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik, agensi dan organisasi dalam merangka program akademik kepada pelajar serta guru sekolah di negeri itu termasuk 36 program yang memberikan impak besar.

"Sebanyak 60 program dijalankan pada 2022 hingga 2024 termasuk program bersiri seperti Professional Learning Community (PLC) bagi guru-guru, kecerdasan buatan (AI), dan Robotic Educational Club (AiRED), Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), Program Transformasi Intelek SPM serta Geran Penyelidikan data tertumpu Perlis. 

"Melalui program teknologi dan pendigitalan seperti Kelab AiRED yang ditubuhkan, pelajar sekolah menengah di Perlis memperoleh pendedahan awal AI dan robotik melalui ‘immersive leaning’ seperti pengaturcaraan, pengecaman suara, pengesanan imej, dan pergerakan robot," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu sempena Majlis Apresiasi FCoEE 2024 di Kuala Perlis dekat sini semalam yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Program anjuran FCoEE pada 2024 melibatkan seramai 394 guru terlatih manakala 808 pelajar tingkatan empat dan lima serta 100 murid sekolah rendah dan 336 mahasiswa dengan seramai 43 pelajar terdiri golongan asnaf.

"FCoEE akan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Perlis, institusi pengajian, universiti, agens dan beberapa syarikat persendirian yang sentiasa komited membantu menjayakan setiap program FCoEE," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi FCoEE Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Husin dalam kenyataan sama berkata penubuhan FCoEE adalah dengan pemikiran Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung FCoEE yang mempunyai visi dan misi meningkatkan serta anjakan perubahan dalam sektor pendidikan rakyat di negeri Perlis.

Beliau berkata FCoEE membantu sistem pendidikan dengan memberikan nilai tambah selain menyokong komuniti pendidikan mampan, mengintegrasikan pendidikan pintar dan tradisional serta menekankan program pendidikan praktikal untuk melahirkan masyarakat berdaya saing dan kebolehpasaran yang tinggi.

“Pembangunan data berkualiti melalui insentif geran penyelidikan dan pengumpulan amalan baik adalah dokumentasi penting sebagai data penggerak perancangan strategik negeri Perlis serta FCoEE sendiri. Sebanyak 15 geran penyelidikan berjaya mengeluarkan 31 penerbitan jurnal pada 2023 dan penyerahan 36 geran telah diadakan pada pertengahan 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan