WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DOKUMEN TAMBAHAN: KERAJAAN AKAN FAIL PERMOHONAN LARANGAN BERSUARA DALAM KES NAJIB

13/01/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara untuk melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung dakwaannya mengenai kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan enam lagi responden berkata permohonan itu dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.

“Mahkamah mengarahkan permohonan itu difailkan pada 20 Jan ini dan Najib perlu memfailkan afidavit balasan dalam tempoh seminggu. Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman secara dalam talian (e-Review) pada 11 Mac ini,” kata Shamsul ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes yang berlangsung dalam kamar di hadapan Hakim Hayatul Akmar Abdul Aziz.

Shamsul juga berkata pihaknya akan membantah permohonan Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Zulkifli Noordin untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes tersebut untuk mewakili Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Mahkamah mengarahkan permohonan untuk peguam pemerhati tersebut untuk difailkan secara rasmi pada 27 Jan ini dan kerajaan perlu memfailkan afidavit balasan pada 10 Feb ini,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata pihaknya akan membantah permohonan perintah larangan bersuara kerana kes tersebut adalah kepentingan awam dan telah dibincangkan secara meluas termasuk di Parlimen.

Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonnya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.

Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan itu yang bertarikh 29 Jan tahun lepas.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah jika dokumen tambahan itu wujud maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman memutuskan bahawa empat afidavit menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib. 

Lembaga Pengampunan bagaimanapun kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan