WILAYAH - TENGAH > BERITA

PROJEK PENANAMAN PADI LIMA MUSIM DUA TAHUN DILANCAR SELEWAT-LEWATNYA FEBRUARI

13/01/2025 03:18 PM

BANTING, 13 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun yang telah diumumkan pada Belanjawan 2025, selewat-lewatnya Februari ini. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelaksanaan projek ini adalah satu daripada langkah berterusan kerajaan untuk meningkatkan hasil padi negara.

"Projek penanaman padi lima musim dua tahun ini (akan) kita laksanakan awal tahun ini, antara Januari atau Februari di Kedah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Ladang Satelit Ehsan Tani di Sungai Kelambu di sini hari ini.

Pada 18 Okt lepas, semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Anwar mengumumkan pelaksanaan projek  itu di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1 yang melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar. 

Projek itu dijangka dapat meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus serta melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.

Selain itu, Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri telah mengadakan perbincangan secara intensif untuk melihat kaedah terbaik bagi meningkatkan hasil padi negara.

KPKM dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga sedang mengkaji kedudukan dan keberadaan beras tempatan dalam pasaran semasa, selain kerajaan turut mempertimbangkan untuk menetapkan harga lantai belian beras tempatan yang kini berada pada RM1,300 per tan metrik.

Mengulas mengenai Projek Ladang Satelit Ehsan Tani, Mohamad berkata projek yang melibatkan peruntukan RM3 juta di kawasan seluas 4.04 hektar itu, membabitkan tanaman cili oleh 20 peserta dengan setiap petani dianggarkan meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Projek yang bermula Ogos lepas menggunakan sistem fertigasi yang lebih efisien dan berdaya saing dengan setakat semalam, lebih 50 tan cili telah dituai. 

"Ini adalah usaha ke arah keterjaminan makanan terutama pada situasi perubahan cuaca yang kadang kala (menyebabkan) kita tidak boleh bergantung hanya sesuatu tempat contohnya kebergantungan sayur-sayuran dari Cameron Highlands," katanya.

Mengulas cadangan supaya kerajaan mengawal kemasukan cili import, khususnya dari Thailand, Mohamad berkata perbincangan tentang isu itu telah dilaksanakan di peringkat pegawai kementerian minggu lepas dan kerajaan akan bertindak memastikan tidak berlaku lambakan tanaman cili di pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan