WILAYAH - TENGAH > BERITA

475 PROJEK PERUMAHAN SWASTA SAKIT BERNILAI RM52 BILION DISELAMATKAN PADA 2024

14/01/2025 04:29 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya menyelamatkan 475 projek melibatkan 59,050 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM52.67 bilion sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah itu merangkumi 441 projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Selain itu, beliau berkata 25 projek berstatus lewat kembali menjadi lancar dan sembilan projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC atau Sijil Layak Menduduki (CFO) dan kaedah penyelesaian pembeli.

"Secara keseluruhannya GDV projek yang berjaya dipulihkan pada tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 30.62 peratus berbanding GDV pada 2023 sebanyak RM39.81 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat TFST Bilangan 1 Tahun 2025, di sini hari ini.

Aiman Athirah berkata projek yang memperoleh CCC bagi 2024 meningkat 11.93 peratus berbanding 394 projek tahun sebelumnya manakala 54,420 unit rumah telah memperoleh CCC tahun lepas berbanding 39,028 unit rumah pada 2023.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata sehingga 31 Dis lepas, TFST telah mengesan dan memantau 249 projek perumahan swasta lewat, 392 sakit serta 113 terbengkalai.

"Kesemua projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai yang terkini membawa GDV sebanyak RM130.83 bilion melibatkan 139,969 unit rumah," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata Kerajaan MADANI komited mempergiatkan usaha pemulihan projek-projek perumahan swasta sakit serta terbengkalai melalui langkah-langkah strategik dan kerjasama pelbagai pihak.

Menurut beliau sebagai sebahagian daripada langkah strategik yang akan dilaksanakan ialah lawatan tapak secara berkala bagi menilai situasi sebenar di lapangan dan menangani isu-isu projek perumahan.

Selain itu, Aiman Athirah berkata aspek pemantauan juga ditambah baik mulai tahun ini, antaranya pemaju tidak lagi dihadkan hanya menghantar laporan kemajuan projek setiap sukuan bahkan turut dibenarkan mengemas kini laporan kemajuan projek di dalam Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan atau Housing Intergrated Management System (HIMS) sepanjang tahun mengikut kesesuaian pemaju dan ia membolehkan data diperoleh secara langsung.

"Sistem HIMS dan Transforming and Empowering Data Usage In Housing (TEDUH) akan ditambah baik untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan telus kepada pemaju, pembeli rumah, bank dan semua rakyat," katanya.

Beliau berkata antara penambahbaikan dijangkakan tahun ini ialah penggunaan e-SPA, dengan semua urusan perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli dilaksanakan secara digital dalam sistem HIMS serta pelaksanaan sistem demerit pemaju dan ahli lembaga pengarah untuk menggantikan sistem senarai hitam.

"TFST akan terus diperkasa sebagai platform utama untuk mengenal pasti isu-isu yang menjejaskan projek perumahan swasta dan mencadangkan penyelesaian bagi melindungi kepentingan pembeli.

"Ia seiring dengan hasrat KPKT iaitu tiada projek terbengkalai menjelang 2030. TFST akan terus berusaha untuk membantu pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek perumahan swasta yang sakit, lewat dan terbengkalai dengan menyediakan penyelesaian yang sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan