WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JOHARI ABDUL MULAKAN JELAJAH RASMI KE NEGARA ASEAN ESOK

14/01/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, akan memulakan jelajah rasmi ke negara-negara anggota ASEAN esok, yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara institusi legislatif serantau serta sebagai persediaan untuk menganjurkan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di ibu negara, pada September depan.

Menurut kenyataan Parlimen Malaysia hari ini, jelajah ini bermula dengan lawatan ke Thailand, yang bertujuan untuk mendapatkan input daripada Speaker-Speaker Parlimen ASEAN bagi memastikan Malaysia menjadi tuan rumah AIPA yang terbaik, selain membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

Semasa di Thailand, Johari yang juga Presiden AIPA ke-46, dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhamad Noor Matha, serta Presiden Senat Thailand Mongkol Surajja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu kemudian akan meneruskan jelajah ke Kemboja pada 16 dan 17 Jan, dengan beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap beberapa pemimpin utama negara itu termasuk rakan sejawatnya, Presiden Dewan Kebangsaan 2 Kemboja Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary dan dan Presiden Senat Kemboja Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.

"Perbincangan dalam pertemuan ini akan menumpukan kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam kerjasama antara Parlimen, ekonomi, dan sosial antara Malaysia dan Kemboja," menurut kenyataan itu.

Parlimen Malaysia memaklumkan jelajah rasmi ASEAN itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memantapkan hubungan dengan negara anggota pertubuhan berkenaan, selaras dengan matlamat menjadikan rantau ini lebih bersatu, berdaya tahan, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.

Johari juga dijadual mengadakan jelajah lawatan rasmi beliau ke negara-negara ASEAN lain dalam masa terdekat, menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan