WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM BONGKAR SINDIKET LANCARKAN PINJAMAN PERIBADI PENJAWAT AWAM DENGAN HUTANG LAPUK

14/01/2025 08:30 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket menjalankan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram bagi membolehkan penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi di institusi perbankan tempatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pembongkaran kegiatan itu dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan tempatan menerusi 'Ops Sky' yang membawa kepada penahanan 12 individu, semalam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, SPRM mempercayai terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan yang menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti. 

“Pegawai bank terlibat telah mengenal pasti pelanggan yang terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk dan seterusnya mereka akan diperkenalkan kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim pinjaman berganda (multiple loan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata syarikat perunding kewangan terlibat turut dipercayai menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu untuk dihantar kepada beberapa institusi kewangan bagi mendapatkan pinjaman.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat itu juga didapati mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang lama dan setelah pinjaman diluluskan, peminjam akan diminta membayar balik pendahuluan itu manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan.

Azam berkata SPRM membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta selain menyita antara lain sembilan unit kenderaan pelbagai jenama, wang tunai lebih RM300,000, 17 jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM11.1 juta serta lima beg tangan berjenama bernilai lebih RM430,000.

Beliau berkata kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan reman lima hari selepas mendapat kebenaran Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.  

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan