WILAYAH - UTARA > BERITA

JKN KEDAH RAMPAS PELBAGAI PRODUK MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL, TIDAK BERDAFTAR

14/01/2025 10:59 PM

ALOR SETAR, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merampas pelbagai produk mengandungi racun berjadual, tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi menerusi ‘Ops Asing’ yang dijalankan di beberapa premis di Sungai Petani, Khamis lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Ismuni Bohari dalam kenyataan berkata operasi bersama 25 anggota Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) dan dua anggota polis itu dijalankan di enam premis perniagaan melibatkan warga Bangladesh.

Beliau berkata sebanyak 75 jenis produk racun berjadual, 79 produk tidak berdaftar dan 75 produk kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai lebih RM63,000 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati premis-premis ini tidak mempunyai sebarang lesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan produk yang dirampas ini disyaki untuk tujuan jualan di pasaran tempatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Sehubungan itu katanya orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa membeli produk kesihatan dan kosmetik secara dalam talian serta memastikan produk mematuhi keperluan undang-undang termasuk mempunyai pelekat keselamatan hologram FarmatagTM dan nombor pendaftaran produk (MAL).

Beliau berkata orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400, selain memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’.

“Pengguna juga boleh memeriksa ketulenan hologram FarmatagTM yang terdapat pada kotak produk melalui aplikasi FarmacheckerTM yang juga boleh dimuat turun secara percuma,” katanya.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi menerusi laman sesawang www.pharmacy.gov.my atau Portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my, selain mana-mana CPF berdekatan atau melalui talian 03-7841 3200.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan