WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EMPAT DITAHAN JUAL NOMBOR PENDAFTARAN KENDERAAN TIDAK WUJUD

15/01/2025 09:55 PM

IPOH, 15 Jan(Bernama) -- Empat individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan menjual nombor pendaftaran kenderaan tidak wujud yang aktif di beberapa negeri.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata tangkapan melibatkan individu berusia antara 27 hingga 52 tahun itu dilakukan dalam beberapa serbuan berasingan yang dijalankan sejak 10 hingga 14 Jan lepas.

“Serbuan dijalankan hasil laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada 8 Jan lepas mengenai seorang lelaki berusia 22 tahun yang mendakwa ditipu sindiket itu.

“Kesemua suspek ditahan di lokasi berasingan sekitar Gemencheh (Negeri Sembilan), Setapak (Kuala Lumpur) dan Langkawi (Kedah). Turut dirampas lima telefon bimbit, tujuh kad pelbagai bank, dua komputer dan dua alat cetak yang dipercayai digunakan bagi tujuan penipuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkafli berkata sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan memperdaya mangsa menerusi iklan jualan nombor pendaftaran kenderaan palsu di Perak, Selangor, Kedah dan Johor melalui media sosial.

“Berdasarkan semakan nama syarikat dan nombor akaun yang digunakan, sindiket itu didapati terlibat dalam lapan laporan dengan nilai kerugian kira-kira RM71,400. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman hingga 17 Jan ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan