KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Polis akan menempatkan 400 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, malam esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata perkara itu bagi memastikan kelancaran trafik sekitar stadium serta perjalanan perlawanan antara pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT), yang dijangka dihadiri puluhan ribu penonton.
Beliau berkata polis akan menjalankan pemeriksaan ketat di pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa barang-barang atau peralatan berbahaya, selain pemeriksaan badan dan beg oleh petugas, sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium.
“Penonton tidak dibenarkan membawa masuk barang larangan seperti mercun, suar, topi keledar, botol air, pemetik api, sebarang objek dan senjata tajam seperti besi, pisau, tongkat dan sebagainya dan larangan ini termasuk alatan pembesar suara dan peniup yang mengeluarkan bunyi bising,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Azli berkata orang ramai juga diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan di laluan pintu utama (grand stand) SSMZA.
Beliau berkata sebarang bentuk perarakan atau perhimpunan sebelum, semasa atau selepas perlawanan juga tidak dibenarkan bagi mengelak insiden pergaduhan atau provokasi.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan kekecohan. Datanglah memberi sokongan kepada pasukan masing-masing dengan cara berhemah dan penuh semangat kesukanan,” katanya.
Dalam pada itu, TFC melalui laman Facebook rasminya memaklumkan bahawa sebanyak 4,000 keping tiket telah habis dijual manakala jualan tiket fizikal pula mula dibuka sejak 10 pagi tadi di SSMZA.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabri Abas berkata pihak pengurusan TFC juga akan memperketat pemeriksaan di pintu masuk bagi mengelakkan isu penjualan tiket palsu.
Beliau berkata pihaknya juga akan memantau kemasukan secara haram yang menyebabkan bilangan penonton melebihi kapasiti.
“Pihak pengurusan akan menempatkan pemerhati di setiap pintu masuk stadium. Langkah ini terpaksa diambil memandangkan ramai yang masuk secara haram, sehingga menyebabkan penonton yang membeli tiket tidak dapat tempat duduk,” katanya.
Beliau berkata sempena perlawanan esok, TFC turut menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk jualan cenderamata dan pameran untuk menghangatkan lagi suasana perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial