KOTA KINABALU, 16 Jan (Bernama) -- Sabah FC tidak memandang rendah keupayaan Sri Pahang FC menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas di sini pada Sabtu ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano berkata pasukan itu mengharapkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk melakar kemenangan, sekali gus meledakkan seberapa banyak gol untuk dijadikan bekalan menghadapi aksi separuh akhir kedua nanti.
“Misi baharu Sabah FC selepas kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (dalam aksi Liga Super) pada 11 Jan lepas adalah menjaringkan sebanyak mungkin gol ketika menentang Sri Pahang FC sebagai bekalan untuk aksi timbal balik akan datang.
“Komitmen 150 peratus akan diberikan ketika berdepan skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad bagi mencerahkan peluang ke perlawanan akhir. Kami menghormati status Sri Pahang FC dan tidak memandang rendah keupayaan pasukan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau juga berharap penyokong-penyokong skuad Sang Badak akan hadir memberikan sokongan dalam usaha pasukan itu mencari bekalan selesa untuk dibawa ke pentas final.
Stano ketika ditanya mengenai status pemain Sabah FC untuk perlawanan itu berkata masih ada beberapa pemain yang berada dalam senarai kecederaan selepas menentang Harimau Selatan tempoh hari.
“Bagaimanapun, ia bukan masalah besar kerana kami masih mempunyai masa untuk menentukan senarai akhir pemain yang akan beraksi nanti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial