KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Proses penyaluran dana kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menerusi Belanjawan 2025 untuk memperkasakan usahawan komuniti India akan dipantau bagi memastikan penyampaian yang efisien.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata pasukannya di kementerian akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan TEKUN Nasional bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar.
“Pada Belanjawan 2025, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memperuntukkan RM30 juta melalui TEKUN Nasional untuk memperkasakan usahawan India dengan tambahan dana dalaman TEKUN Nasional sebanyak RM70 juta yang akan menyokong lebih 5,000 usahawan India di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa komited menjayakan agenda pemerkasaan keusahawanan masyarakat India, malah telah memperuntukkan RM100 juta iaitu jumlah terbesar dalam sejarah melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional sejak 2007.
Peruntukan itu, katanya, merupakan satu lagi usaha strategik Kerajaan MADANI dalam memastikan usahawan komuniti India dapat memajukan perniagaan mereka.
Mengenai rekod cemerlang SPUMI, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata skim itu telah membantu seramai 26,804 usahawan India dengan penyaluran pembiayaan sebanyak RM500 juta sejak dilancarkan pada 2007.
Beliau berkata tahun lepas, sejumlah RM58.9 juta telah disalurkan kepada 2,408 usahawan India melalui skim berkenaan, manakala sebanyak RM12.6 juta kepada 287 usahawan menerusi SPUMI Goes Big yang dilancarkan pada April 2024.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus memperkenalkan inisiatif baharu untuk memberi manfaat kepada masyarakat India dengan sokongan padu daripada Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial