WILAYAH - UTARA > BERITA

MARITIM MALAYSIA TAHAN BOT PUKAT HANYUT DISYAKI CURI KERANG

18/01/2025 01:30 PM

IPOH, 18 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pukat hanyut yang disyaki mencuri kerang di Pulau Sanggar Besar dekat Kuala Kurau awal pagi tadi. 

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau Leftenan Maritim Syuhadha Sharip berkata bot tempatan dinaiki seorang nelayan lelaki warga tempatan itu ditahan pada kedudukan 2.0 batu nautika barat daya pulau berkenaan hasil aduan orang awam. 

Beliau berkata pemeriksaan mendapati nelayan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur kerang) 2002 iaitu lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu ditetapkan.

" … suspek disyaki melanggar syarat lesen iaitu menggunakan peralatan penangguk kerang tidak dilesenkan selain beroperasi di luar waktu dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek juga mengemukakan lesen telah tamat tempoh dan 10 kilogram (kg) kerang turut ditemukan.

Individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan