KLANG, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) sedang dalam perbincangan dengan kumpulan syarikat Sime Darby Property untuk melanjutkan tempoh pajakan penggunaan Bayuemas Cricket Oval sebagai padang rasmi sukan kriket.
Hannah berkata stadium itu ialah lokasi strategik dan venue yang paling sesuai sebagai padang rasmi sukan berkenaan.
“Lokasi Bayuemas sedang dinaik taraf oleh Persatuan Kriket Malaysia … kalau kita lihat persekitaran sangat sesuai kerana berdekatan dengan Lembah Klang. Kita berharap supaya tempat ini akan terus menjadi penganjur untuk acara bertaraf dunia.
“Ia milik Sime Darby, saya bersama persatuan dalam usaha untuk berbincang bagi melihat bagaimana kita boleh mempunyai terma ataupun lanjutan masa supaya pelaburan mereka boleh digunakan untuk masa yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian skuad bawah 19 tahun ke Piala Dunia T20 B-19 di Bayuemas Cricket Oval di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim berharap sukan kriket diberikan ‘rumah’ sendiri memandangkan sukan itu dilihat mempunyai pembangunan yang baik di tanah air.
“Saya berharap kerajaan akan memberi perhatian yang lebih dan sebagai permulaan, mungkin jika kita boleh mempunyai tanah sendiri (untuk pembangunan stadium kriket) ia bagus kerana banyak lagi sukan mempunyai rumah sendiri, kami tidak ada.
“… semoga dalam tempoh dua tahun akan datang, kami akan melihat sesuatu yang sangat baik. RM1 juta akan pergi begitu sahaja, tetapi padang sendiri kekal,” katanya.
Terdahulu, Hannah menyampaikan jersi skuad wanita negara bawah 19 tahun (B-19) yang akan beraksi pada bermula esok.
Malaysia diundi dalam 'kumpulan sukar' apabila dijadual menentang Sri Lanka pada esok, diikuti bertemu juara bertahan India pada 21 Jan dan West Indies pada 23 Jan dalam Kumpulan A.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial