WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN 2025: PERMUKIMAN AMM PERTAMA BUAT MENTERI LUAR INDONESIA, SUGIONO

18/01/2025 07:06 PM

 

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Malaysia merupakan kehadiran Menteri Luar Indonesia Sugiono dalam mesyuarat ASEAN buat julung kalinya, sejak pelantikannya pada Oktober tahun lepas.

Sugiono, 46, yang berkhidmat di bawah “Kabinet Merah Putih” pimpinan Presiden Prabowo Subianto, akan bertemu secara bersemuka dengan rakan sejawatnya dalam mesyuarat peringkat menteri pertama di bawah Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia.

Beliau tiba di Kompleks Lang Merah, Langkawi, tengah hari ini bersama Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam, Bui Thanh Son dan Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, yang hadir sebagai Pemerhati ASEAN.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan menteri lain tiba di sini semalam.

Dalam kenyataan tahunannya di Jakarta pada Jumaat, Sugiono menegaskan bahawa Indonesia akan terus mengutamakan perpaduan dan kepusatan ASEAN.

Merujuk kepada kenyataan Presiden Prabowo, beliau menekankan bahawa Indonesia mahu menjadi jiran yang baik, termasuk kepada negara anggota ASEAN.

“Sejak dipilih, malah sebelum dilantik, Presiden Prabowo telah melawat negara-negara ASEAN. Ini sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya ASEAN kepada Indonesia,” kata Sugiono seperti dilaporkan Antara.

Indonesia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 2023.

Pada sebelah malam, para menteri luar dijadual menghadiri majlis makan malam alu-aluan yang dihoskan oleh Mohamad sebelum meneruskan Permukiman AMM pada Ahad, yang akan membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, dan seorang wakil dari Myanmar.

Permukiman itu juga akan menumpukan perhatian kepada hala tuju strategik ASEAN, usaha memperkukuh Komuniti ASEAN, dan hubungan luar ASEAN.

AMM selama dua hari itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, bermula hari ini, dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) diadakan sebagai sesi persediaan penting bagi permukiman itu.

Terdahulu, SOM yang dipengerusikan oleh Ketua SOM ASEAN bagi Malaysia, merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, bertujuan menjadi platform untuk pemimpin masing-masing mengadakan perbincangan mendalam mengenai isu utama serantau, merumuskan cadangan, dan menyelaraskan pandangan negara anggota ASEAN sebagai persediaan untuk mesyuarat peringkat menteri.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari, dengan lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadual berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan