SHAH ALAM, 22 Jan (Bernama) -- Yayasan Restu dan Nasyrul Quran berjaya mengumpul RM300,000 menerusi kutipan khas bagi bantuan makanan dan perubatan untuk rakyat Palestin.
Timbalan Pengerusi Yayasan Restu Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dana yang dikumpul tahun lepas, yang digunakan bagi menyediakan bekalan makanan dan ubatan itu akan dihantar menerusi penghantaran dua kontena minggu ini.
“Hasil usaha Yayasan Restu dan Nasyrul Quran, sebanyak RM300,000 sumbangan berjaya dikutip dan dengan wang itu kita akan hantar ubatan serta makanan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Kita juga harap gencatan senjata yang dikuatkuasakan itu akan berpanjangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Prapelancaran Festival Antarabangsa Seni al-Quran Restu di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan perjanjian gencatan senjata di Gaza, Palestin berkuat kuasa pada Ahad lepas, menghentikan serangan genosid Israel yang meragut hampir 47,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 110,700 orang sejak 7 Okt 2023.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan tempoh bertenang yang berkekalan dengan matlamat mencapai gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Turut hadir pada majlis hari ini Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu Datuk Mohd Asyaharim Abdul Latiff.
Mengulas mengenai festival yang akan berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat ini, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung.
Beliau berkata penganjuran festival berkenaan yang sebelum ini diadakan di Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya merekodkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.
“Kalau di sana boleh dapat kehadiran pengunjung lebih 20,000, kita mahu di sini (Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor) lebih ramai pengunjung,” katanya.
Antara pengisian pada festival itu ialah Seminar al-Quran dan STEM, Pameran Seni Khat Antarabangsa dan Seni Persalinan dalam Mushaf Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial