SUNGAI PETANI, 24 Jan (Bernama) -- Tiga nelayan termasuk dua beranak yang hilang ketika menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar pada 9 Jan lepas, dan ditemukan selamat setelah hanyut ke perairan Indonesia, akhirnya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing semalam.
Asrol Hisham Zainol, 47, dan anaknya Shahril Aiman, 17, serta seorang pekerjanya Mohamad Al-Amin Sufian, 29, tiba di Pangkalan Batu Lintang dekat sini kira-kira 4 pagi sebelum pulang ke rumah mereka dekat sini.
Menceritakan kembali detik itu, Asrol Hisham berkata pada Khamis (9 Jan) mereka bertiga menaiki sebuah bot menuju ke Pulau Payar bersama tiga lagi bot dinaiki 13 rakan yang lain dan sepatutnya pulang pagi Jumaat (10 Jan), namun bateri rosak menyebabkan enjin bot tidak dapat dihidupkan.
"Ketika itu semua bot lain sudah bergerak pulang, kami cuba hubungi mereka tetapi berdepan dengan masalah talian kerana berada di tengah laut. Kami cuba jatuhkan sauh, tetapi tali terputus menyebabkan bot kami hanyut," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Batu Lintang dekat sini semalam.
Asrol Hisham berkata pada Jumaat, tidak ramai nelayan turun ke laut menyebabkan mereka tidak dapat meminta bantuan kerana tiada bot atau kapal yang melalui kawasan mereka hanyut.
Hasil tangkapan ikan tenggiri yang diperoleh mereka agak banyak katanya, namun semuanya terpaksa dibuang kerana sudah busuk dan mereka juga terpaksa minum sedikit air laut sebelum hujan pada hari kedua mereka hanyut.
"Angin bertiup kencang menyebabkan kami hanyut hingga perairan Indonesia dan bot terdampar di tepi pantai. Kami tiba di sana kira-kira pukul 6 pagi dan menunggu di dalam bot sehingga terlihat dua nelayan berada di kawasan itu kira-kira pukul 9 pagi.
"Kami nampak ada bot nelayan di situ, tetapi lain daripada bot di Malaysia dan berdasarkan pertuturan mereka, baru kami sedar yang kami berada di Indonesia. Tempat kami terdampar itu di Kuala Peunaga, Aceh Tamiang," katanya yang terputus bekalan makanan dan minuman bersih selama lima hari di lautan.
Asrol Hisham berkata semasa terdampar di Indonesia, nelayan di sana mengajak mereka pulang ke rumah dan menjamu nasi serta sambal telur sebelum menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian yang menimpa mereka bertiga.
Katanya, kira-kira 10 hari berada di pejabat pihak berkuasa di negara jiran, mereka mendapat layanan baik, diberi makan secukupnya, malah proses dokumentasi juga berjalan lancar.
Asrol Hisham berkata mereka bertolak dari Indonesia dan tiba di Tukun Perak di sempadan perairan Indonesia–Malaysia pada 4 petang (Rabu lepas) dengan diiringi pihak berkuasa negara itu dan disambut pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Seterusnya kami diiring hingga tiba di Pulau Payar, kemudian pihak Maritim Malaysia mengiringi kami sehingga selamat sampai di sini. Terima kasih kepada semua termasuk pihak berkuasa negara jiran," katanya yang sudah 15 tahun menjadi nelayan.
Sementara itu, ibu Asrol Hisham, Halimah Shaari, 67, memanjatkan rasa syukur apabila anak dan cucunya selamat dan berjaya pulang.
“Apabila dapat berita mereka hilang di laut, saya berdoa, buat solat hajat. Kemudian dapat pula khabar mengatakan mereka selamat, saya bersujud syukur … hari ini, alhamdulillah kedua-dua mereka dan seorang lagi rakan selamat sampai.
"Waktu terima panggilan daripada cucu, Aiman, saya sempat dengar dia kata selamat … selepas itu, saya sebak tak terkata dan hari ini dia sudah ada di depan mata," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial